Setelah agak lama menunggu, motosikal bergaya retro GPX Legend 250 Twin II 2020 kini rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, dalam dua pilihan warna hitam dan kelabu. Harga jualan asasnya ditetapkan sebanyak RM 13,500.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan), boleh dikatakan berpatutan dengan apa yang ditawarkan.
GPX Legend 250 Twin II 2022 ini merupakan model keluaran GPX Thailand, dan ianya diedarkan secara rasmi di pasaran tempatan oleh GPX Malaysia. Model itu sebelum ini dilancarkan di pasaran Thailand, pada bulan September 2020 yang lalu. Tampil dengan gaya rekaan retro yang menawan, spesifikasi teknikalnya juga adalah sangat menarik.
Kita lihat dulu bahagian enjinnya. GPX Legend 250 Twin II dikuasakan enjin 234cc (2-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC) yang dilengkapi sistem oil-cooled, teknologi suntikan bahan api GPX-Fi (jenama Delphi daripada USA) dan sistem transmisi enam kelajuan. Enjin berkenaan mampu menghasilkan tork maksimum sehingga 15Nm @ 6,500rpm.
Pada bahagian brek, ianya dilengkapi dua cakera berkembar dengan diameter 276 mm (Twin Disc brake / 4 pot), seterusnya dipadankan dengan brek cakera belakang tunggal dengan diameter 220 mm (Single Disc brake / 1 pot). Beralih ke bahagian roda, rim aloi aluminium dipasangkan tayar depan bersaiz 100/90-17 dan tayar belakang 130/90-17.
Sistem suspensi GPX Legend 250 Twin II terdiri daripada fork depan jenis terbalik, yang digandingkan dengan suspensi belakang jenis berkembar dengan tabung gas daripada YSS. Ciri-ciri menarik yang lain ialah handlebar bergaya klasik, panel meter digital LCD sepenuhnya, lampu depan dengan DRL LED, dan lampu belakangnya juga jenis LED.
Sebagai sebuah motosikal yang bergaya retro, GPX Legend 250 Twin II turut dilengkapi tempat duduk dan sistem ekzos dengan rekaan klasik, di samping tangki petrolnya yang mempunyai pad perlindungan pada kedua-dua belah sisinya. Tangki minyak berkenaan mempunyai kapasiti maksimum sehingga 14.5 liter, untuk perjalanan yang lebih jauh.
Dari segi dimensi, ukuran lebar x panjang x tinggi GPX Legend 250 Twin II 2022 ialah 785 x 2,040 x 1,120 mm, manakala jarak roda berukuran 1,340 mm. Ketinggian tempat duduknya pula berada pada paras 790 mm, sementara jarak kelegaan tanah ialah 180 mm. Berat keseluruhan motosikal itu berada pada angka hanya 156 kg (net weight).
Sumber : Sendayan Motor FB