Yamaha YZF-R1 2023 merupakan salah sebuah model supersport yang kini ditawarkan di pasaran USA. Namun model berkenaan masih kekal sama seperti mana model tahun 2022, sama ada dari aspek spesifikasi teknikal atau pun pilihan warna yang ditawarkan. Harganya bagaimanapun kini telah meningkat kepada $17,999.00 (RM 80,572.52), naik sebanyak $400.00 berbanding harga jualan pada tahun sebelumnya iaitu $17,599.00.
Imbas kembali spesifikasi jentera bertaraf litar yang sinonim dengan kelajuan ini, ianya dikuasakan enjin bersesaran 998cc (liquid-cooled, inline 4 cylinder, DOHC; 4-valves per cylinder) yang menjana kuasa maksimum 200PS @ 13,500rpm dengan tork maksimum 113Nm @ 11,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan dengan sistem ride-by-wire YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle), termasuklah bantuan daripada unit IMU.
Yamaha YZF-R1 seperti mana yang kita tahu, tampil dengan teknologi seperti kerangka aluminium Deltabox, sistem brek berprestasi tinggi dengan ABS, sistem suspensi yang boleh dilaraskan sepenuhnya, dan termasuk sepasang tayar Bridgestone® RS11 untuk tahap pengendalian yang cemerlang dan sentiasa dalam kawalan yang terbaik. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 17.0 liter, dengan berat jentera itu ialah 203 kg (wet weight).
Senarai sistem elektronik yang melengkapi model berkenaan termasuklah EBM (Engine Brake Management), PWR (Power Delivery Mode), TCS (Lean Angle-Sensitive Traction Control System), SCS (Slide Control System), LIF (Lift Control System), LCS (Launch Control System), dan QSS (Up and Down Quick Shift System). Ciri-ciri lain pada model itu ialah sistem lampu LED sepenuhnya dan paparan instrumen digital TFT berwarna.