Kawasaki Motor Indonesia (KMI) baru saja memperkenalkan jentera off-road terbaharu iaitu Kawasaki KLX230R 2023, dengan harga jualannya sebanyak Rp. 50,000,000, atau bersamaan nilai RM 15,066.30 mengikut kadar mata wang semasa. Pilihan warna yang tersedia untuk model tersebut di pasaran Indonesia pula hanya satu iaitu Lime Green.
Kawasaki KLX230R 2023 memiliki enjin bersesaran 233cc (Air-cooled, 4-stroke Single, SOHC, 2 valves) yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, yang seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 20PS @ 8,000rpm dengan tork maksimum 20.6Nm @ 6,000rpm. Dengan berat hanya 115 kg, ianya dilengkapi tangki bahan api 6.6 liter.
Jentera berkenaan dibangunkan dengan casis ‘perimeter, high-tensile steel’, fork depan jenis teleskopik 37 mm, penyerap hentak belakang ‘New Uni Trak with adjustable spring preload’, roda depan 80/100-R21, dan roda belakang 100/100-R18. Beralih ke bahagian brek, ianya ditugaskan kepada cakera depan 240 mm dan cakera belakang 220 mm.
Kawasaki KLX230R 2023 mempunyai dimensi panjang x lebar x tinggi iaitu 2,035 x 840 x 1,175 mm, manakala jarak rodanya ialah 1,350 mm. Ketinggian tempat duduknya pula mencapai 900 mm, dengan jarak kelegaan tanah 275 mm. Khusus untuk aktiviti off-road sepenuhnya, jentera KLX230R ini tidak dilengkapi sistem lampu depan dan belakang.