Honda CB150R The Streetster 2022 dilancarkan di pasaran Vietnam, harga jualan bersamaan RM 20,039.14

Pada tarikh 12hb. Mei 2022 baru-baru ini, Honda di pasaran Vietnam dengan rasminya telah melancarkan sebuah model Neo Sports Cafe terbaharu iaitu Honda CB150R The Streetster 2022. Model itu kini tampil dengan skim warna terbaharu, bagi menggantikan model sebelumnya Honda CB150R Exmotion yang diperkenalkan pada tahun 2019.

Honda CB150R The Streetster 2022 hanya tampil dengan pilihan warna tunggal Black, manakala spesifikasi teknikalnya kekal tidak berubah. Model yang diimport sepenuhnya dari Thailand itu dikuasakan enjin bersesaran 149.16cc (single-cylinder, 4-valve, DOHC, liquid-cooled) dengan kelengkapan teknologi PGM-FI, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 16hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 13.6Nm @ 8,000rpm. Tangki bahan apinya hadir dalam kapasiti 8.5 liter.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda CB150R The Streetster ini adalah seperti fork depan USD 41 mm, suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun ringan, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS 2-channel, kaliper brek 4 pot baharu jenis radial mount, panel meter digital, sistem lampu LED dan tayar belakang lebar 150 mm. Tinggi tempat duduknya ialah 802 mm, jarak kelegaan bumi 139 mm dan berat 126 kg.

Untuk pasaran Vietnam, Honda CB150R The Streetster 2022 bakal memulakan jualan bermula tarikh 29hb. Mei 2022, dengan harga jualan ditetapkan pada VND 105,500,000 yang bersamaan nilai RM 20,039.14 mengikut kadar semasa. Untuk pasaran Malaysia, sehingga kini belum pasti sama ada ianya akan dilancarkan oleh Boon Siew Honda.