Pada pertengahan tahun lepas, Yamaha Motor Europe memperkenalkan sebuah model terbaharu dalam segmen Yamaha Sport Heritage iaitu Yamaha XSR125 2021. Dan kini model tersebut diperkenalkan pula dengan penampilan yang lebih sporty, bergaya serta premium, dan ianya dikenali dengan nama baharu Yamaha XSR125 Legacy 2023.
Yamaha XSR125 Legacy didatangkan dalam satu skim pilihan warna iaitu Historic Black bersama-sama rim roda berjejari dengan sentuhan warna keemasan. Menurut Yamaha, rim roda itu bukan hanya sekadar ringan, malah menyerlahkan lagi keaslian model retro berkenaan. Untuk pasaran Eropah, model itu bakal tiba secara rasmi mulai Jun 2022.
Berbanding versi standard, antara ciri-ciri menarik lain yang diterima Yamaha XSR125 Legacy ini adalah seperti tayar berprestasi tinggi Metzeler Karoo, sistem ekzos dengan 2-piece aluminium muffler cover dan skim warna dan grafik yang eksklusif. Di bahagian enjinnya, ianya mengekalkan enjin 125cc VVA yang sama dan patuh piawaian Euro 5.
Enjin berprestasi itu digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, yang menghasilkan kuasa maksimum 14.75hp @ 10,000rpm dengan tork maksimum 11.5Nm @ 8,000rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 11 liter, sementara tinggi tempat duduk berada pada paras 815 mm. Berat Yamaha XSR125 Legacy hanyalah 139.5 kg.
Melengkapkan lagi spesifikasi Yamaha XSR125 Legacy 2023 ini ialah rangka Deltabox, fork depan USD 37 mm, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, panel meter digital LCD, sistem lampu depan dan lampu belakang LED, dan handlebar yang tinggi untuk posisi tunggangan yang lebih tegak dan pastinya selesa.