Honda Dash 125 2022 terima kemaskini warna baharu dan dilengkapi enjin bertaraf Euro 4, harga asas RM 6,449.00

Boon Siew Honda hari ini memperkenalkan Honda Dash 125 2022, yang kini menerima kemaskini warna dan jalur grafik terbaharu. Perubahan terkini lain termasuklah enjinnya yang lebih bersih bertaraf Euro 4, meter dail baharu dengan sentuhan lebih moden dan lebih jelas, serta rekabentuk visor hadapan baharu untuk aerodinamik yang lebih baik.

Honda Dash 125 2022 menawarkan tiga pilihan warna iaitu Candy Scintillate Red, Pearl Nightfall Blue dan Clipper Yellow. Harga jualan asasnya ialah RM 6,449.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempoh jaminan ialah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perbatuan. Untuk makluman, Honda Dash 125 2022 kali ini hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja berbanding model Honda Dash 125 2020 / 2021.

Di bahagian enjin, ianya kekal berkapasiti 124.9cc (satu silinder, penyejuk udara, SOHC 4 lejang, 2 injap) yang digandingkan dengan transmisi empat kelajuan. Enjin berkenaan yang turut dilengkapi sistem suntikan bahan api PGM-Fi menawarkan kuasa maksimum 9.85hp @ 8,000rpm, dengan tork 9.54Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan api ialah 4.0 liter.

Spesifikasi lain termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, brek cakera depan dan belakang, tayar depan bersaiz 70/90-17, tayar belakang bersaiz 80/90-17, lampu depan LED, tinggi tempat duduk 767 mm, dan berat penuhnya 105 kg. Untuk anda, saksikan paparan gambar-gambar menariknya di dalam galeri di bawah.