Yamaha 135LC 2022 (New Facelift Version) akan dilancarkan pada tarikh 08hb. Mac 2022 (Selasa)

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada tarikh 08hb. Mac 2022 (Selasa) akan datang, bakal melancarkan sebuah model motosikal terbaharu untuk pasaran Malaysia. Setakat ini syarikat pengeluar motosikal tersebut telah menyiarkan sebuah video teaser melalui laman Facebook rasmi mereka, sedikit sebanyak telah memberikan bayangan awal.

Berdasarkan paparan di dalam video teaser itu dan juga gambar-gambar spyshot yang sebelum ini telah berjaya dirakamkan, model terbaharu yang bakal dilancarkan itu ialah sebuah model moped, tidak lain dan tidak bukan pastinya Yamaha 135LC 2022. Bukan hanya sekadar kosmetik, model tersebut kini telah menerima naik taraf yang signifikan.

Buktinya ialah melalui paparan beberapa keping gambar model itu yang sejak kelmarin telah viral di dalam laman Facebook, seterusnya memberikan beberapa maklumat awal mengenai spesifikasi dan perubahan yang akan ditawarkan olehnya. Antaranya seperti rekaan semula badannya, bermula daripada bahagian depan sehinggalah ke belakang.

Antara yang terbaharu ialah Yamaha 135LC 2022 kini menggunakan kepala depan atau lampu utama mirip model Yamaha Y15ZR, di samping panel meter digital sepenuhnya. Enjinnya pula dijangka masih bersesaran 135cc, namun mungkin telah menerima talaan terbaharu agar ianya lebih menjimatkan petrol dan patuh piawaian emisi yang terkini.

Lebih menarik, Yamaha 135LC 2022 ini masih kekal dengan gear semi-automatik tanpa klac tangan, sangat sesuai untuk semua golongan penunggang termasuklah wanita dan golongan pertengahan usia dan ke atas. Untuk pekerja penghantaran makanan seperti rider Food Panda, Grab Food dan lain-lain, mungkin inilah model yang dinanti-nantikan.

Ciri keselamatan juga telah dinaik taraf, yang mana Yamaha 135LC 2022 kini dilengkapi brek cakera belakang untuk pemberhentian yang lebih selamat. Lampu belakang model tersebut juga kini tentu lebih terang, apabila tampil dengan rekaan baharu mirip Yamaha Y16ZR. Rim roda rekaan baharu pula menyerlahkan lagi penampilannya yang sporty.

Namun apa yang diharapkan lagi ialah Yamaha 135LC 2022 akan menawarkan kapasiti tangki bahan api yang lebih besar, manakala port pengecas USB merupakan antara ciri standardnya. Paling penting, harga jualan asasnya diharapkan berada di bawah paras RM 8k sahaja. Adakah harapan itu akan menjadi kenyataan, sama-sama kita tunggu.

p/s : sumber gambar kesemuanya daripada laman Facebook. Kredit kepada pemilik asal kesemua gambar-gambar tersebut.