Honda SH150i 2022 terima dua pilihan warna terbaharu di pasaran Eropah

Selain daripada model Honda SH125i 2022, pasaran Eropah turut ditawarkan satu lagi versi dengan enjin yang lebih besar iaitu Honda SH150i 2022. Kedua-dua model skuter berkenaan mempunyai spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang sama, kecuali perbezaan di bahagian kapasiti enjin dan janaan kuasa, grafik logo di sisi badan dan jumlah berat.

Untuk musim 2022, Honda SH150i turut tampil dengan dua pilihan warna terbaharu iaitu Mat Rock Gray dan Mat Pearl Cool White, bersama-sama tiga pilihan warna bagi musim sebelumnya Pearl Nightstar Black, Timeless Gray Metallic dan juga Pearl Splendor Red. Berbanding SH125i, grafik logo di sisi badan SH150i ini tampil jelas dengan logo 150i.

Di bahagian enjinnya, Honda SH150i dikuasakan enjin eSP+ (enhanced Smart Power+) bersesaran 156.9cc (liquid-cooled, 4-stroke SOHC, 4-valves), dan digandingkan dengan sistem transmisi CVT. Enjin bertaraf Euro 5 yang mempunyai tahap penggunaan bahan api 44.7 km/l itu menghasilkan 16.62hp @ 8,500rpm, dengan tork 14.9Nm @ 6,500rpm.

Sama seperti model Honda SH125i, SH150i ini turut dilengkapi AGC starter, Idling Stop, tangki bahan api 7.0 liter, Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem ABS Dual-Channel, panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, soket pengecas USB jenis Type-C, Smart Key, dan ruang storan 28 liter yang luas di bawah tempat duduk.

Beralih ke bahagian suspensi, SH150i menggunakan fork depan teleskopik 33 mm dan penyerap hentak belakang jenis berkembar. Tayar depan dan belakangnya hadir dalam ukuran 100/80-R16 dan 120/80-R16 masing-masing. Tinggi tempat duduk model skuter yang sporty dan bergaya ini ialah 799 mm, sementara berat penuhnya ialah 134.1 kg.