Dua model moped terbaharu Rato SVR180 dan Ottimo Super Moped – bilakah akan dilancarkan di pasaran Malaysia?

Pasaran Malaysia pada ketika ini boleh dikatakan pasaran terbesar untuk pelbagai jenis model moped, bermula dari enjin 135cc sehinggalah 183cc. Walaupun pelbagai model telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia setakat ini, namun tahukah anda masih ada lagi model-model moped terbaharu yang hanya menunggu masa untuk dilancarkan.

Berdasarkan maklumat sebelum ini, pasaran Malaysia bakal menerima lagi dua model moped terbaharu iaitu Rato SVR180 dan Ottimo Super Moped. Kedua-dua model bakal menggunakan enjin bersesaran 175cc, dan tampil dengan reka bentuk sporty dan juga agresif. Prestasi enjin untuk kedua-dua model moped itu juga dikatakan memuaskan.

Bagi Rato SVR180, ianya dikatakan akan dijenamakan semula oleh syarikat tempatan Aveta, berdasarkan imej spyshot yang berjaya dirakamkan sebelum ini. Menggunakan enjin bersesaran 174.5cc, jumlah kuasa maksimumnya mencapai 16.76hp @ 9,000rpm dengan tork setinggi 15.5Nm @ 7,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 6.5 liter.

Ottimo Super Moped pula akan dilancarkan oleh syarikat tempatan Ottimo Technologies Sdn. Bhd., dan model tersebut ketika ini masih berada dalam fasa pembangunan. Pada bulan Oktober 2021 yang lepas, Ottimo telah menyiarkan video teaser mengenai model moped yang sedang dibangunkan, seperti mana paparan imej dalam galeri di bawah.

Ketika ini, masih belum ada sebarang maklumat rasmi bilakah kedua-dua model moped Rato SVR180 dan Ottimo Super Moped akan dilancarkan di pasaran Malaysia. Mungkin pelancaran kedua-dua model itu akan berlangsung pada tahun ini, atau mungkin hanya akan dilancarkan pada tahun depan. Sebagai peminat, sama-samalah kita nantikan.

Lagi Artikel Menarik :

Galeri : Rato SVR180

Galeri : Ottimo Super Moped