Honda CB650R 2022 terima kemaskini warna baharu di pasaran Malaysia, harga asas RM 43,499.00

Boon Siew Honda pada kelmarin dengan rasminya melancarkan Honda CB650R 2022 untuk pasaran Malaysia, dengan pilihan warna terbaharu Mat Jeans Blue Metallic. Dua pilihan warna terdahulu iaitu Candy Chromosphere Red yang kini dilengkapi mudguard depan berwarna hitam dan Mat Gunpowder Black Metallic, masih lagi ditawarkan untuk musim 2022. Harga jualan asasnya yang ditetapkan adalah sebanyak RM 43,499.00.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB650R 2022 masih mengekalkan spesifikasi teknikal seperti mana model Honda CB650R 2021. Antara spesifikasi menarik yang melengkapi model Neo Sports Cafe itu termasuklah fork depan Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) USD 41 mm, Honda Selectable Torque Control, panel meter digital LCD yang kini tampil lebih jelas dan peningkatan sudut palang pemegang (handlebar).

Di bahagian penjana kuasa, Honda CB650R dikuasakan enjin bersesaran 649cc (liquid-cooled 4-stroke 16-valve DOHC inline-4 cylinder) dengan keluaran maksimum 93.87hp @ 12,000rpm dan tork setinggi 64Nm @ 8,500rpm. Enjin bertaraf Euro 5 itu seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Tangki bahan api untuk model dengan berat 200 kg itu hadir dengan kapasiti penuh 15.4 liter.

Honda CB650R 2022 turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, soket pengecas USB jenis Type-C di bawah tempat duduk, suspensi belakang monoshock (monoshock damper with 10 stage adjustable preload), sistem brek cakera depan berkembar dengan kaliper empat piston (radial-mount) 310 mm, brek cakera belakang kaliper tunggal 240 mm, ABS dua saluran, serta roda depan 120/70-ZR17 dan roda belakang 180/55-ZR17.