Pasaran Vietnam pada hari ini secara rasminya menerima kehadiran dua model terbaharu keluaran Suzuki iaitu Suzuki Gixxer 250 2021 dan Suzuki Gixxer SF250 2021. Kedua-dua model tersebut tampil dengan dua skim pilihan warna Triton Blue Metallic dan Matte Black Metallic, sama seperti model Gixxer 250 2021 dan Gixxer SF250 2021 di pasaran Jepun.
Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 merupakan dua model kembar yang sama, namun masing-masing berada dalam kategori berbeza iaitu naked dan sport fairing. Enjin yang melengkapi kedua-duanya itu berkapasiti 249cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve), lengkap dengan sistem penyejukan minyak SOCS (Suzuki Oil Cooling System).
Enjin itu kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 26PS @ 9,000rpm dengan tork mencecah 22.6Nm @ 7,500rpm. Untuk penghidupan enjin yang mudah, Suzuki Gixxer dilengkapi butang penghidup Suzuki Easy Start System, sementara tangki bahan api hadir dengan kapasiti penuh sehingga 12 liter.
Untuk pengendalian yang lebih terkawal dan lincah, Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 dilengkapi fork depan 41 mm dan suspensi belakang monoshock dengan ciri boleh laras prabeban. Melengkapkan ciri keselamatan kedua-duanya ialah sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, yang didatangkan dengan sistem ABS dua saluran.
Rim roda yang sporty pada Gixxer 250 dan Gixxer SF250 dibalut tayar dalam siri 110/70-R17 pada bahagian depan dan 150/60-R17 pada bahagian belakang. Kedua-dua model itu turut dilengkapi fender belakang yang terpasang pada lengan ayun. Tinggi pelana ialah 800 mm, manakala berat untuk Gixxer 250 ialah 155 kg dan berat Gixxer SF250 ialah 160 kg.
Suzuki Gixxer 250 2021 dan Suzuki Gixxer SF250 2021 untuk pasaran Vietnam ini turut dilengkapi panel meter digital LCD dengan pelbagai info penting, sistem lampu depan dan belakang jenis LED, serta paip ekzos dengan rekaan muncung berkembar yang kelihatan sporty. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 3 tahun atau 30,000 km perbatuan.
Untuk pasaran Vietnam, Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 ditawarkan dengan harga jualan masing-masing sebanyak VND 120,900,000, bersamaan RM 22,016.71, dan VND 125,900,000, bersamaan RM 22,931.58. Untuk pasaran Malaysia, kedua-dua model sporty ini dijangka akan turut dilancarkan nanti oleh pengedar baharu Suzuki Malaysia.