Honda Forza 250 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 25,388.00

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. hari ini dengan rasminya melancarkan model skuter maxi terbaharu Honda Forza 250 2021 untuk pasaran Malaysia. Harga asas yang ditetapkan untuk model tersebut ialah RM 25,388.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan jaminan 2 tahun atau jarak perjalanan sehingga 20,000 km.

Pilihan warna yang ditawarkan pula ialah tiga kesemuanya iaitu Pearl Horizon White, Candy Rosy Red dan Matte Gunpowder Black Metallic. Dengan pelancarannya, Honda Forza 250 2021 akan bersaing dengan model-model sekelas dengannya seperti model Yamaha XMAX 250, Modenas Elegan 250 dan paling terbaharu model WMoto RT3.

Honda Forza 250 dikuasakan enjin bersesaran 249cc (single-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, SOHC) dengan teknologi EFI, dan menghasilkan kuasa maksimum 21.72hp @ 7,750 dengan tork maksimum 22.6Nm @ 6,250rpm. Untuk kawalan tunggangan yang lebih baik, ianya turut dilengkapi sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Spesifikasi lain yang melengkapi Honda Forza 250 ini termasuklah tangki petrol dengan kapasiti penuh 11.7 liter, skrin penghadang angin dengan ciri boleh laras elektrik, sistem brek ABS, sistem kunci Smart Key, port pengecas USB dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk, yang boleh memuatkan dua buah topi keledar bermuka penuh.

Honda Forza 250 2021 sebelum ini turut dilancarkan di pasaran Indonesia, dengan tanda harga yang hampir sama dan boleh didapati dalam empat pilihan warna menarik. Berbanding model terdahulu Honda Forza 300 di pasaran Malaysia, Forza 250 dijangka akan mendapat sambutan yang lebih baik kerana ianya mesra pemegang lesen B2.

Sumber : Paultan.org