Kawasaki Ninja 650 2022 diperkenalkan di pasaran Eropah, terima kemaskini warna baharu

Menjelang tibanya musim baharu pada tahun depan, Kawasaki Ninja 650 2022 kini rasmi diperkenalkan di pasaran Eropah dengan kemaskini warna terbaharu. Ketiga-tiga pilihan warna yang menarik dan sporty itu ialah Lime Green / Ebony / Pearl Blizzard White, Pearl Robotic White / Metallic Carbon Gray dan juga Metallic Matte Graphenesteel Gray. 

Selain kemaskini warna terbaharu, tiada sebarang perubahan di bahagian teknikal. Model itu kekal dikuasakan enjin 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 68PS @ 8,000rpm, dengan tork puncak 64Nm @ 6,700rpm.

Melengkapkan lagi spesifikasinya ialah tangki bahan api 15 liter, fork depan teleskopik 41 mm, suspensi belakang tunggal (Horizontal Back-link with adjustable preload), roda depan dan belakang dalam siri 120/70-ZR17 dan 160/60-ZR17, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS dua saluran, dan tempat duduk yang selesa pada paras 790 mm.

Kawasaki Ninja 650 2022 seterusnya dilengkapi panel meter digital TFT berwarna, sistem sambungan ke telefon pintar menggunakan teknologi Bluetooth, serta lampu depan jenis LED. Untuk pasaran Eropah, model sport bike kelas pertengahan itu boleh didapati dalam beberapa pilihan varian yang lain seperti Performance, Sport, Urban dan juga Tourer.