Modenas Elegan 250 ABS 2021 tampil dalam pilihan warna baharu Satin Matte Blue yang menawan

Model skuter terbaharu Modenas Elegan 250 ABS 2020 secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan November tahun lepas. Oleh itu bagi menyegarkan lagi penampilannya dalam musim 2021, model tersebut telah didatangkan pilihan warna terbaharu yang boleh dikatakan cukup menawan dan elegan iaitu Satin Matte Blue.

Pilihan warna terbaharu itu turut ditawarkan bersama-sama pilihan warna terdahulu iaitu Satin Matte Black. Bagaimanapun berdasarkan maklumat terkini di dalam brosur, pilihan warna Satin Matte Red tidak lagi dipaparkan. Mungkin pilihan warna tersebut tidak lagi ditawarkan untuk musim 2021, setelah digantikan oleh warna baharu Satin Matte Blue.

Di bahagian teknikal, Modenas Elegan 250 ABS dilengkapi enjin berkapasiti 250cc satu silinder dengan padanan sistem transmisi automatik CVT. Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 22.43PS @ 7,000rpm dan tork maksimum 22.4Nm @ 6,500rpm. Untuk jarak perjalanan lebih jauh, skuter tersebut dilengkapi tangki petrol dengan kapasiti 12.5 liter.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi Modenas Elegan 250 ABS ini antaranya ialah lampu hadapan jenis projektor yang bergaya bersama-sama lampu ‘Day Running Light’ (DRL), meter kelajuan pelbagai fungsi, soket pengecas USB, dan ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk dan dilengkapi lampu LED untuk kemudahan pada waktu malam.

Berkenaan harga, tiada maklumat yang diberikan oleh pihak Modenas. Ini memberikan makna bahawa Modenas Elegan 250 ABS versi 2021 masih kekal dengan harga jualan asas mampu milik iaitu sebanyak RM 15,315.00 sahaja. Untuk ketenangan pemiliknya, model itu ditawarkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan.