Honda Dream Forever Glory 2021 di pasaran Kemboja tampil lebih mewah dan elegan

Honda NCX Cambodia baru-baru ini telah melancarkan model kapcai terbaharu Honda Dream Forever Glory 2021 di pasaran Kemboja, dengan penampilan baharu yang lebih mewah dan elegan. Sebabnya ialah kerana model tersebut kini didatangkan jalur grafik dan emblem berwarna emas sepenuhnya, yang kelihatan begitu menyerlah sekali.

Honda Dream Forever Glory dikuasakan enjin 124.85cc dengan sistem karburetor, dan dipadankan kotak gear empat kelajuan. Jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan tidak pula didedahkan. Enjin tersebut seterusnya dilengkapi teknologi Precompressure Start System yang dikatakan membantu operasi menghidupkan enjin dengan lebih mudah.

Spesifikasi lain yang melengkapi Honda Dream Forever Glory 2021 termasuklah tangki bahan api 4.0 liter, fork depan teleskopik, penyerak hentak belakang berkembar, sistem brek dram depan dan belakang, tayar depan dan belakang dalam saiz 60/100-R17 dan 70/100-R17 yang dipasangkan pada rim berjejari, dan tinggi tempat duduk 745 mm.

Untuk pasaran Kemboja, Honda Dream Forever Glory boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Supreme Black, Worthy White dan Blazing Red. Model ini dijangka tidak akan ditawarkan di pasaran Malaysia, namun enjinnya yang bersesaran 125cc itu mungkin sesuai jika dipasangkan pada model Honda EX5 sebagai naik taraf terkini.