Boon Siew Honda Sdn. Bhd. hari ini rasmi memperkenalkan model ikonik Honda EX5 2021 Edisi Ulang Tahun Ke-35 untuk pasaran Malaysia. Boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Euphoria Red Metallic dan Pearl Nightfall Blue, model tersebut juga tersedia dalam dua pilihan varian iaitu dengan rim roda tuangan dan rim roda jejari.
Sebagai tanda bahawa ianya merupakan model Ulang Tahun Ke-35, terdapat pelekat atau emblem eksklusif yang dilekatkan di bahagian luar sebelah kiri pelindung kaki (leg shield). Rekaan jalur grafik pula didapati masih sama seperti mana yang dapat dilihat pada model keluaran tahun 2020, yang diperkenalkan pada Februari tahun lepas.
Aspek teknikal juga masih kekal sama iaitu dikuasakan enjin bersesaran 109.17cc (satu silinder, penyejuk udara, SOHC, 4 lejang, 2 injap), dengan kuasa maksimum 8.66PS @ 7,500rpm dan tork 8.62Nm @ 5,500rpm. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik PGM-Fi yang menjimatkan petrol dan kurang pencemaran emisi.
Honda EX5 2021 Edisi Ulang Tahun Ke-35 seterusnya dibekalkan kotak gear dengan klac automatik empat kelajuan, penghidup elektrik dan tendang, tangki bahan api 4.3 liter, mempunyai ketinggian tempat duduk 747 mm, sistem suspensi teleskopik dan berkembar, serta sistem brek jenis dram di bahagian roda depan dan belakangnya.
Harga yang ditawarkan untuk Honda EX5 2021 Edisi Ulang Tahun Ke-35 ini bermula dari RM4,783.00 untuk model dengan rim jejari, dan RM5,009.00 untuk model dengan rim tuangan. Dengan usianya yang kini telah menjangkau 35 tahun sejak dilancarkan di pasaran Malaysia, Honda EX5 terus kekal di dalam jiwa dan hati rakyat Malaysia.
Sumber gambar : Careta.my