Suzuki GSX-S750 2021 kini di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 40,989.00

Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini rasmi melancarkan enam buah model baharu di bawah edarannya untuk pasaran tempatan. Salah sebuah daripadanya ialah jentera naked Suzuki GSX-S750 2021, yang hadir dalam dua pilihan warna menarik iaitu Triton Blue Metallic / Glass Sparkle Black dan Metallic Oort Grey / Glass Sparkle Black.

Suzuki GSX-S750 dikuasakan enjin bersesaran 749cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC, in-line four) yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, dan menghamburkan kuasa maksimum 114PS @ 10,500rpm dengan tork puncak 81Nm @ 9,000rpm. Model tersebut kemudiannya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 16 liter.

Spesifikasi teknikal yang melengkapi Suzuki GSX-S750 ini antaranya seperti fork depan jenis terbalik, suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera dengan ABS, tayar depan dan belakang masing-masing berukuran 120/70-R17 dan 180/55-R17, tinggi pelana 820 mm, jarak kelegaan bumi 135 mm, dan mempunyai berat hanya 213 kg (kerb mass).

Jentera naked berkenaan turut dilengkapi panel meter digital LCD, di samping teknologi canggih seperti Traction Control, Low RPM Assist dan Suzuki Easy Start System. Untuk pasaran Malaysia, harga asasnya ditetapkan sebanyak RM 40,989.00, dan didatangkan bersama-sama tempoh jaminan selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km.