Tiga varian Brixton BX150 2021 terima kemaskini baharu di pasaran Malaysia, harga asas bermula dari RM 10,488.00

Brixton Motorcycles kini memperkenalkan versi terbaharu untuk model Brixton BX150 di pasaran Malaysia, yang merangkumi tiga model kesemuanya iaitu Brixton BX150 2021, Brixton BX150X 2021 dan Brixton BX150R 2021. Ketiga-tiga model itu mempunyai gaya penampilan masing-masing yang berbeza iaitu klasik, scrambler dan juga cafe racer.

Brixton BX150 mula diperkenalkan di pasaran Malaysia sejak tahun 2018 yang lalu, dan diedarkan oleh syarikat tempatan iaitu MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Bagi versi tahun 2021, ketiga-tiga varian Brixton BX150 kini telah menerima penambahbaikan yang lebih menarik dari segi penampilan dan corak grafik, agar model itu kekal sporty dan segar.

Brixton BX150, Brixton BX150X dan Brixton BX150R dilengkapi enjin 149cc (1-cylinder, 4-stroke, SOHC, air-cooled) dengan sistem suntikan bahan api elektronik, kemudiannya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan. Enjin tersebut menawarkan keluaran kuasa maksimum 11hp pada 8,000rpm, bersama-sama tork maksimum 11.9Nm @ 6,000rpm.

Sistem suspensi untuk ketiga-tiga varian BX150, BX150X dan BX150R terdiri daripada fork hadapan teleskopik dan dua penyerap hentak pada bahagian belakangnya. Sistem brek cakera pada bahagian depan dan belakang melengkapkan ciri keselamatan model tersebut, yang turut didatangkan Combined Braking System (CBS) yang lebih selamat.

Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, ketiga-tiga varian BX150, BX150X dan BX150R dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter. Turut melengkapi model berkenaan termasuklah paparan meter analog dan digital, sistem lampu LED, saiz tayar depan dan belakang masing-masing 100/90-R18 dan 120/80-R17, dan berat 157 kg.

Brixton BX150, Brixton BX150X dan Brixton BX150R 2021 masing-masing didatangkan dengan dua pilihan warna yang berbeza seperti Hijau Gelap dan Hitam (BX150), Kelabu Matte dan Hitam Matte (BX150X) dan Merah dan Kelabu (BX150R). Harga jualan asas untuk ketiga-tga model itu ialah RM 10,488.00, RM10,788.00 dan juga RM11,088.00.

Menurut MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., dengan setiap pembelian mana-mana model Brixton BX150 2021, para pembeli boleh menikmati jaminan daripada pengeluar selama tempoh dua tahun atau jarak perjalanan sehingga 20,000km (yang mana tiba terdahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen yang kini disediakan secara dalam talian.

Galeri : Brixton BX150 2021

Galeri : Brixton BX150X 2021

Galeri : Brixton BX150R 2021