Suzuki Malaysia baru saja memperkenalkan enam buah model terbaharu di pasaran tempatan, dan salah satu daripadanya ialah Suzuki Katana GSX-S1000S 2021. Jentera naked itu sebelum ini diperkenalkan buat pertama kalinya di pasaran Malaysia pada Mei 2019 oleh Suzuki Assemblers Malaysia, dengan harga jualan asas RM 84,500.00.
Namun untuk model kali ini, Suzuki Katana 2021 ditawarkan dengan harga jualan asas yang lebih rendah iaitu RM 77,989.00 sahaja. Merupakan produk versi CBU dari Jepun, model tersebut boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Mystic Silver dan Glass Sparkle Black, dengan tempoh jaminan 2 tahun atau 20,000 km jarak perbatuan.
Dikuasakan enjin empat silinder bersesaran 999cc dengan transmisi enam kelajuan dan sistem assist & slipper clutch, hamburan kuasa maksimum yang dihasilkan oleh jentera bertaraf legenda itu mencecah 148PS @ 10,000rpm, dengan tork maksimum 107Nm @ 9,500rpm. Jumlah kuasa itu pastinya mencukupi untuk jentera dengan berat 215 kg itu.
Suzuki Katana turut dilengkapi Low RPM Assist, Suzuki Easy Start System dan Traction Control System. Kelengkapan lain termasuklah panel meter digital, sistem lampu LED, fork depan terbalik, suspensi belakang mono boleh laras prabeban, sistem brek Brembo dan Nissin dengan ABS, tinggi pelana 825 mm dan kapasiti tangki bahan api 12 liter.