Suzuki merupakan antara jenama pengeluar motosikal ikonik yang pernah bertapak di pasaran Malaysia. Namun begitu sejak tahun 2016, syarikat tersebut tidak lagi menjual barisan motosikal di bawah 250cc, sebaliknya hanya menawarkan model-model dalam kelas tertinggi sahaja. Kini pengurusan baru Suzuki ialah Suzuki Malaysia Sdn. Bhd..
Berdasarkan perancangan awal yang didedahkan pada tahun lepas, Suzuki Malaysia dikhabarkan bakal melancarkan semula model-model terbaharu dengan enjin di bawah 250cc. Antara yang dijangkakan ialah model-model moped, skuter, sport bike dan naked bike. Namun begitu sehingga kini semua perancangan itu belum menjadi kenyataan.
Hari ini, Suzuki Malaysia telah membuat pengumuman melalui laman Facebook rasmi mereka, mengenai ketibaan tiga model berkuasa tinggi iaitu Suzuki GSX-R1000, Suzuki GSX-R1000R dan Suzuki Katana. Model-model tersebut telah pun ditawarkan sebelum ini di pasaran tempatan, bermakna ianya merupakan stok baharu bagi musim 2021.
Dengan pengumuman tersebut, kebanyakan peminat Suzuki di pasaran Malaysia yang menantikan pelancaran model-model seperti Suzuki Belang R150 FI, Suzuki GSX-R150 dan Suzuki GSX-S150, berasa kecewa. Apa yang diharapkan oleh mereka sebenarnya ialah model-model yang mesra lesen B2 dan ditawarkan pada harga mampu milik.
Adakah Suzuki Malaysia akhirnya akan melancarkan model-model terbaharu di bawah 250cc untuk pasaran tempatan? Jika ianya akan dilancarkan, adakah pada penghujung tahun ini atau pada tahun depan? Atau adakah penantian ramai peminat Suzuki ketika ini hanyalah sia-sia? Semoga ada penjelasan rasmi daripada pihak Suzuki Malaysia.