Jentera kembara Honda CB200X 2021 dilancarkan di pasaran India, harga bersamaan RM 8,231.00

Honda Motorcycle and Scooter India Pvt. Ltd. hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model kembara terbaharu Honda CB200X 2021 untuk pasaran India. Model itu didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik seperti Sports Red, Matte Selene Silver Metallic dan Pearl Nightstar Black, dengan harga jualan Rs. 144,500 (RM 8,231.00).

Honda CB200X dikuasakan enjin bersesaran 184.4cc (4 Stroke, SI Engine, PGM-FI) yang bertaraf BS-VI, dan digandingkan dengan transmisi lima kelajuan. Keluaran kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 17hp @ 8,500rpm, dengan tork puncak 16.1Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan api model tersebut hadir dengan kapasiti maksimum 12 liter.

Kerangka Honda CB200X merupakan jenis diamond, yang kemudiannya digandingkan dengan fork depan USD, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan 1 channel ABS, serta roda depan dan belakang tanpa tiub bersaiz 110/70-17 dan 140/70-17. Tinggi tempat duduk ialah 810 mm, dengan berat keseluruhan 147 kg (kerb weight).

Antara ciri-ciri menarik dan moden yang melengkapi Honda CB200X termasuklah panel meter digital yang terang, sistem lampu LED sepenuhnya, Engine Stop Switch, Hazard Switch dan corak tunggangan yang selesa. Seperti biasa, Honda CB200X 2021 ini pasti tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia, kerana citarasa pasaran yang berbeza.