BMW Motorrad Malaysia kini secara rasminya melancarkan model naked terbaharu BMW G 310 R 2021 untuk pasaran tempatan. Didatangkan dalam satu pilihan warna tunggal iaitu Sport Style (Limestone Metallic), harga jualan asas yang ditawarkan untuk model berkenaan adalah sebanyak RM 27,500.00 sahaja (tidak termasuk insuran).
Berbanding model generasi sebelumnya, BMW G 310 R 2021 kini dilengkapi beberapa ciri-ciri baharu termasuk enjin yang lebih bersih dan patuh piawaian emisi Euro 5. Dari segi gaya dan rekaan luaran, ianya didatangkan dengan beberapa perubahan minima, namun telah berjaya menjadikan penampilan terbaharunya lebih segar dan sporty.
Sistem penjana kuasa BMW G 310 R 2021 masih mengekalkan enjin bersesaran 313cc (water-cooled, single-cylinder 4-stroke engine, four valves, two overhead camshafts and cam followers, wet sump lubrication) dengan padanan transmisi 6-kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 34hp @ 9,250rpm dan tork puncak 28Nm @ 7,500rpm.
Menurut BMW Motorrad Malaysia, enjin tersebut kini dilengkapi teknologi “electronic throttle grip” (electromotive throttle controller) yang menawarkan maklumbalas pendikit yang lebih sensitif. Peningkatan kelajuan melahu enjin secara automatik juga akan menghalang kemungkinan enjin daripada mati secara tiba-tiba. Lebih dari itu ianya juga dilengkapi sistem slipper clutch yang diberikan nama “self-boosting anti-hopping clutch”.
BMW G 310 R 2021 kini didatangkan dengan sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk lampu depan LED untuk pencahayaan yang lebih terang pada waktu malam. Tiga fungsi lampu pada lampu depannya iaitu high beam, low beam dan daytime driving light boleh dioperasikan dengan mudah menggunakan butang kawalan di sebelah kiri handlebar.
Untuk lebih kemudahan, tuil klac dan brek kini mempunyai ciri pelarasan empat tahap, memberikan manfaat kepada penunggang terutamanya yang mempunyai tangan lebih kecil. Menyentuh aspek kelajuan, BMW G 310 R 2021 terbaharu ini boleh melakukan pecutan sehingga 143 km/j, pastinya mencukupi untuk sesebuah roadster sepertinya.


















