CFMOTO 700CL-X Heritage 2021 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada November 2021, harga asas RM 28,800.00

Sebuah lagi model motosikal terbaharu akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi, iaitu CFMOTO 700CL-X Heritage 2021. Perkara tersebut telah disahkan oleh CFMOTO Malaysia baru-baru ini, dan pelancaran model bergaya retro moden itu bakal berlangsung dalam bulan November 2021, dengan harga asas hanya RM 28,800.00.

Berdasarkan maklumat awal, CFMOTO 700CL-X Heritage akan ditawarkan di pasaran tempatan dalam dua pilihan warna menarik Coal Grey dan Twilight Blue, bersama-sama tempoh jaminan selama 2 tahun dengan jarak perjalanan tanpa had (2 years unlimited millage warranty). Semua itu pastinya untuk ketenangan minda setiap pemiliknya nanti.

CFMOTO 700CL-X Heritage 2021 dikuasakan enjin bersesaran 693cc dengan transmisi enam kelajuan, dan menawarkan prestasi maksimum yang memuaskan iaitu 73.7hp (55 kW) @ 8,500rpm dengan tork puncak 68Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya mampu memuatkan sehingga 13 liter petrol, dan berat motosikal hanya 169 kg (curb weight).

Pelbagai ciri-ciri menarik yang melengkapi CFMOTO 700CL-X Heritage ini termasuklah teknologi CF-SC Slipper Clutch untuk kawalan klac yang lebih mudah, mod tunggangan Economy dan Sport, sistem Cruise Control, fork depan terbalik KYB, suspensi belakang tunggal KYB (link-mounted), dan sistem brek cakera J-Juan dengan Continental ABS.

Selain itu model tersebut turut dilengkapi lampu depan LED yang menggunakan sistem bantu penyesuaian diri, yang dapat dihidupkan atau dimatikan secara automatik sesuai dengan kecerahan sekitarnya, lampu signal yang akan dimatikan secara automatik, dan juga paparan meter LCD pelbagai informasi dengan gaya rekaan retro berbentuk bulat.