Pada beberapa hari yang lepas, Suzuki telah mengumumkan bahawa model supersport Suzuki GSX-R1000R 2021 di pasaran Jepun kini tampil dengan dua skim warna baharu iaitu Triton Blue Metallic / Mystic Silver Metallic dan Matte Black Metallic No. 2 / Glass Matte Mechanical Gray, di samping warna sebelumnya iaitu Matte Black Metallic No.2.
Bagi warna Triton Blue Metallic / Mystic Silver Metallic, sekali pandang ianya kelihatan sama seperti mana milik model Suzuki GSX-R1000R 100th Anniversary Edition 2021. Namun perbezaannya ialah warna perak pada sisi fairing telah bertukar kepada warna biru, manakala warna biru pada under cowl pula kini telah bertukar kepada warna hitam.
Warna terbaharu kedua iaitu Matte Black Metallic No. 2 / Glass Matte Mechanical Gray pula semestinya paling menyerlah buat masa ini, kelihatan unik dan jarang-jarang dapat dilihat. Suzuki GSX-R1000R 2021 dengan dua warna baharu itu bersama-sama warna Matte Black Metallic No.2, akan mula dijual di pasaran Jepun pada tarikh 30 Julai 2021.
Harga yang ditawarkan adalah sebanyak 2,156,000 Yen, bersamaan nilai RM 82,664.61 mengikut kadar semasa. Melihat kepada prestasinya, Suzuki GSX-R1000R dikuasakan enjin bersesaran 999cc (water-cooled, 4-stroke, in-line 4-cylinder / DOHC, 4-valve) yang menawarkan kuasa maksimum 197PS @ 13,200rpm dengan tork 117Nm @ 10,800rpm.