Dalam bulan November 2020 yang lepas, GPX Thailand secara rasminya melancarkan model skuter terbaharu GPX Drone 2021. Model tersebut terhasil daripada kerjasama di antara GPX Thailand dan SYM Taiwan. Kemudiannya untuk pasaran Malaysia, SYM telah melancarkan model yang sama SYM Jet X 150 2021, dalam bulan Mei yang lalu.
Kelmarin, GPX Thailand telah membuat kejutan apabila dengan rasminya melancarkan model terbaharu GPX Drone 4-Valves 2022, yang kini telah menerima naik taraf baharu pada bahagian enjinnya. Bersesuaian dengan nama yang diberikan, model berkenaan dikuasakan enjin 149.6cc dengan teknologi 4-valves, menggantikan teknologi 2-valves.
Menurut GPX Thailand, enjin dengan teknologi 4-valves itu menawarkan prestasi kuasa dan tork yang lebih baik, malah meningkatkan ekonomi bahan api sehingga 16 peratus (berdasarkan ujian World Motorcycle Test Cycle atau WMTC). Spesifikasi teknikal yang lain masih kekal sama, dengan lima pilihan warna terbaharu berdasarkan dua varian.
Bagi varian Keyless, GPX Drone 4-Valves 2022 boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Urban White, Vibe Orange dan Energetic Red, pada harga sebanyak THB 72,800, bersamaan RM 9,353.05. Satu lagi pilihan warna istimewa untuk varian Keyless ialah Midnight Blue (Matt), dengan harga jualannya sebanyak THB 73,800 (RM 9,481.53).
Bagi varian Standard tanpa sistem kunci pintar, GPX Drone 4-Valves 2022 didatangkan dalam pilihan warna tunggal Jet Black, dengan harga THB 68,900, bersamaan nilai RM 8,852.00. Dengan pelancaran model tersebut di pasaran Thailand, adakah ini bermakna pasaran Malaysia juga akan menerima ketibaan SYM Jet X 150 dengan enjin 4-valves?