Lakaran digital sporty Honda Winner X bertemakan jentera berkuasa tinggi Honda CBR1000RR-R Fireblade SP

Model moped Honda Winner X sememangnya tidak dapat dinafikan mampu diubahsuai ke tahap yang begitu ekstrem. Antara tema paling popular yang seringkali digunakan ialah pengubahsuaian atau modifikasi yang mengambil inspirasi daripada model-model berkuasa tinggi, sama ada model pengeluaran biasa atau jentera untuk kegunaan litar.

Selain itu, pengubahsuaian yang dilakukan secara lakaran digital untuk model tersebut juga tidak kurang hebatnya, seperti mana contoh terkini yang ditunjukkan oleh Julak Sendie Design ini. Tema yang ditunjukkan itu diambil secara langsung daripada jentera berkuasa tinggi Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, dalam warna Trico yang sporty.

Sekali pandang lakaran digital pada model Honda Winner X itu seolah-olah memberikan gambaran bahawa ianya merupakan versi terkini Honda Winner X 160, yang dikatakan bakal dilancarkan pada tahun depan. Dengan rupa paras yang garang dan luar biasa seperti itu, serta enjin yang lebih berkuasa, tentu akan menjadi idaman ramai peminat.

Untuk pasaran Malaysia, Honda Winner X versi 150 seperti mana di pasaran Vietnam, dijangka bakal dilancarkan secara rasmi oleh Boon Siew Honda tidak lama lagi. Betapa popularnya model itu di Malaysia pada ketika ini, dapat dilihat secara langsung melalui modifikasi terhadap model Honda RS150R yang dijelmakan sebagai Honda Winner X.