Pelancaran model terbaharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam baru-baru ini telah diterima dengan baik oleh peminat dan pengguna motosikal di sana. Ianya juga merupakan senjata terkini Yamaha dalam memberikan saingan yang lebih ampuh kepada model popular Honda Winner X yang mendominasi pasaran bagi tahun 2020.
Dengan pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA, nasib Honda Winner X pada ketika ini boleh dikatakan kelihatan agak tidak menentu. Ini kerana Exciter 155 VVA menawarkan enjin 155cc yang lebih berkuasa, sistem Assist & Slipper Clutch, sistem Smart Key yang canggih, soket 12V untuk mengecas telefon bimbit dan brek depan dengan dua piston.
Honda Winner X pula mempunyai kelebihan dengan kelengkapan sistem brek ABS dan sistem lampu LED sepenuhnya, bersama-sama enjin 150cc dengan teknologi DOHC. Setakat ini masih terlalu awal untuk menilai sejauh manakah prestasi jualan Yamaha Exciter 155 VVA berbanding model Honda Winner X, namun tetap boleh dijangkakan.
Berdasarkan perkembangan tersebut, kini timbul spekulasi bahawa Honda di pasaran Vietnam bakal bertindak balas dengan memperkenalkan model Honda Winner X 160 2021 generasi baharu pada tahun ini. Situasinya sama seperti mana pelancaran Honda Winner X pada Julai 2019, sebagai jawapan kepada pelancaran model Yamaha Exciter 150 versi facelift terbaharu yang sebelum itu dilancarkan pada bulan Ogos 2018.
Persoalannya ialah benarkah Honda Winner X 160 2021 akan dilancarkan dengan enjin serba baharu yang lebih berkuasa, di samping ciri-ciri yang lebih menarik seperti fork depan USD, sistem kunci Smart Key, port pengecas USB Type-C, sistem brek ABS dua piston dan sistem traction control iaitu Honda Selectable Torque Control (HSTC).
Kedengarannya terlalu canggih namun semua itu sebenarnya tidak mustahil. Beberapa teknologi yang dikatakan itu kini sudah boleh dilihat pada model Honda PCX160 2021 yang kini menawarkan enjin eSP+ bersesaran 156.93cc, yang boleh dinaiktaraf dan dipertingkatkan lagi kuasanya untuk model moped dalam segmen lebih berprestasi.
Penggunaan fork depan jenis USD (upside-down) pula dikatakan akan muncul untuk model terbaharu Honda CBR150R 2021 generasi terbaharu yang bakal dilancarkan di pasaran Indonesia tidak lama lagi. Jadi tidak mustahil ianya juga akan digunakan untuk melengkapi model Honda Winner X 160 bagi menjadikan prestasinya lebih sempurna.
Bagaimanapun ini semua masih lagi hanya spekulasi awal. Namun percaturan Honda Motor Vietnam seolah-olah telah dapat dibaca kerana pastinya syarikat tersebut tidak akan menyerah kalah dengan mudah. Yang pasti ianya sangat menarik untuk melihat pertembungan di antara model Yamaha Exciter 155 VVA dan Honda Winner X 160.
Sumber rujukan : Motosaigon.vn & Techz.vn