Kawasaki baru-baru ini telah memperkenalkan Kawasaki Z125 Pro 2022 untuk pasaran USA, yang kini didatangkan dua pilihan skim warna terbaharu iaitu Pearl Shining Yellow dan Pearl Robotic White / Candy Plasma Blue, di samping warna terdahulu Metallic Flat Spark Black. Harga jualan model cilik tersebut pula ialah $3,299.00 (RM 13,720.54).
Kawasaki Z125 Pro 2022 kekal dikuasakan enjin bersesaran 125cc (4-stroke, 1 cylinder, SOHC, 2-valve, air-cooled), yang kemudiannya dipadankan kotak gear empat kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 9.7PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 9.6Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan apinya menawarkan kapasiti maksimum 7.4 liter.
Sebagai sebuah model motosikal yang lincah dan mudah dikendalikan, Kawasaki Z125 Pro dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang tunggal, tayar dalam ukuran 100/90-12 (depan) dan 120/70-12 (belakang), serta sistem brek cakera (petal-style disc) dalam diameter 200 mm di bahagian depan dan 184 mm pada bahagian belakang.
Kawasaki Z125 Pro 2022 mempunyai ketinggian tempat duduk 780 mm, dengan jarak kelegaan bumi 155 mm. Sebagai maklumat tambahan, Kawasaki Z125 Pro 2021 untuk pasaran Jepun dikatakan merupakan versi terakhir yang ditawarkan di negara tersebut. Untuk pasaran USA setakat model tahun 2022 ini, ianya masih lagi dijual seperti biasa.













