Yamaha Y16ZR 2021 boleh dikatakan sebuah model motosikal moped yang hampir sempurna dari segi reka bentuk, prestasi dan juga spesifikasi teknikal. Bagaimanapun terdapat satu kekurangan ketara untuk model yang baru saja dilancarkan itu, di mana ruangan untuk menempatkan bakul menjadi semakin kecil dan didapati kurang sesuai.
Salah satu sebab kenapa bahagian atau ruangan untuk menempatkan bakul tersebut menjadi semakin kecil ialah saiz atau bahagian enjin untuk Yamaha Y16ZR kini semakin besar. Enjin 155cc VVA kini menggunakan semakin banyak ruang berbanding model terdahulu Yamaha Y15ZR, kerana rekaannya semakin canggih dan semakin kompleks.
Berdasarkan pemerhatian terhadap Yamaha Y16ZR dan Yamaha Exciter 155 VVA yang telah dipasang bakul, kedudukan bakul tersebut berada di kedudukan yang lebih tinggi berbanding bakul yang dipasang pada model Yamaha Y15ZR. Akhirnya menyebabkan penampilannya yang sebelum ini begitu sporty menjadi sedikit pelik dan tidak menarik.
Jika ada pemilik yang sanggup tidak memasang bakul, masalah lain pula akan muncul iaitu Yamaha Y16ZR akan menjadi sebuah model moped yang tidak lagi praktikal untuk kegunaan harian. Bayangkan pergi membeli barang runcit di kedai atau di pasar tetapi tiada ruang untuk menempatkan semua barangan itu, pastinya akan menyusahkan.
Antara cara untuk menyelesaikan masalah bakul pada model Yamaha Y16ZR ini ialah rekaannya perlu dibuat lebih kecil dan lebih rendah. Keluasan bakul tersebut mungkin akan menjadi lebih kecil dan tidak mampu memuatkan banyak barangan, namun ianya adalah lebih baik daripada langsung tidak memasang bakul pada model berkenaan.
Bagi pemilik Yamaha Y16ZR yang langsung tidak kisah dengan penampilan sporty dan menawan model tersebut, boleh saja memasang bakul yang dirasakan sesuai. Untuk pemilik yang tidak memerlukan bakul pula, adalah lebih baik tidak memasangnya demi memastikan motosikal kesayangan anda itu kekal cantik, sporty dan kelihatan agresif.