Ottimo sedang membangunkan model super moped baharu untuk pasaran Malaysia, bakal dilengkapi enjin 175cc

Jika anda masih ingat, syarikat pengeluar motosikal tempatan Ottimo Technologies Sdn. Bhd. sebelum ini pernah mengatakan bahawa mereka akan melancarkan beberapa buah model baharu selain daripada model Ottimo Viz 110. Salah satu daripadanya ialah sebuah model super moped yang dikatakan bakal dikuasakan enjin bersesaran 175cc.

Namun begitu sejak 2 tahun yang lepas sehingga pada awal tahun ini, tiada sebarang khabar berita terbaharu mengenai model super moped tersebut. Sehinggalah baru-baru ini hasil lawatan Rudy bersama rakan-rakannya dari Geng Tayar Besar ke ibu pejabat Ottimo di Sungai Petani, Kedah, telah membocorkan maklumat mengenai model itu.

Malah berdasarkan tangkap layar dari video yang dimuatnaik ke saluran YouTube GTB, akhirnya kita dapat melihat lakaran model super moped yang mungkin akan dilancarkan dalam masa terdekat itu, yang tampil dengan reka bentuk cukup sporty dan kelihatan moden. Dengan enjin 175cc, prestasi yang bakal dihamburkan pastinya memuaskan.

Buat masa ini pihak Ottimo masih belum memberikan maklumat lanjut mengenai model tersebut, namun dijangkakan mereka sudah menetapkan aras tertentu agar ianya dapat bersaing dengan model-model moped lain di pasaran tempatan. Menurut sumber awal, model super moped baharu itu dijangka akan menerjah pasaran pada tahun depan.

Selain itu, turut menarik perhatian ialah kolaborasi di antara Ottimo dan GTB yang telah membangunkan model Ottimo Viz 110 dalam versi GTB, yang kelihatan cukup menarik dan kelihatan gagah. Malah model tersebut telah pun diuji mendaki sehingga ke puncak Gunung Jerai yang mencabar, anda boleh saksikannya melalui pautan video di sini.

Sumber : Funtasticko.net