Keeway GT270 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bermula dari RM 15,761.18

Keeway Thailand pada penghujung bulan Mac 2021 baru-baru ini secara rasminya telah melancarkan model skuter maxi terbaharu Keeway GT270 2021. Bagi varian standard, model tersebut hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Pearl White, Matt Blue dan Matt Black, manakala varian Extreme Version hadir dalam pilihan warna tunggal Matte Blue.

Keeway GT270 dikuasakan enjin bersesaran 278.2cc (1 Cylinder 4-Stroke,4 Valve) dan dipadankan transmisi automatik CVT, dengan kuasa maksimum 22hp @ 7,250rpm dan tork maksimum 23Nm @ 6,000rpm. Enjin dengan kelengkapan teknologi EFI itu patuh piawaian Euro 4, serta dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 12 liter.

Spesifikasi menarik yang melengkapi Keeway GT270 ini antaranya termasuklah lampu depan LED dengan lampu DRL (Full LED Day-Time Running Lights), panel meter digital LCD, sistem Smart Key, fork depan teleskopik 34 mm KYB, suspensi belakang OKD (Adjustable Preload With Sub-Tank) dan brek cakera 240 mm dengan ABS dua saluran.

Selain itu Keeway GT270 turut dilengkapi tayar depan 110/70-13 (tubeless) dan tayar belakang 130/70-13 (tubeless), ketinggian tempat duduk 770 mm dan berat hanya 147 kg. Bagi model Keeway GT270 Extreme Version, ciri-ciri eksklusifnya termasuklah bar perlindungan, suspensi belakang OHLINS dan beberapa aksesori tambahan khusus.

Keeway GT270 2021 untuk pasaran Thailand ditawarkan pada harga jualan sebanyak THB 119,900 (bersamaan RM 15,761.18) untuk varian Standard, manakala untuk varian Extreme Version, harganya ialah THB 134,900 (bersamaan RM 17,732.97). Setakat ini belum ada maklumat sama ada model ini akan turut ditawarkan di pasaran Malaysia.