Moxiao 500RR 2021 diperkenalkan di pasaran China, versi mampu milik untuk model Ducati Panigale 959

Model-model motosikal superbike premium dalam siri Ducati Panigale boleh dikatakan hanya eksklusif untuk peminat kental yang berpoket tebal sahaja. Jadi bagaimana pula jika ada pengeluar motosikal yang sanggup menawarkan model dengan rekaan yang hampir sama dan pada harga jualan yang jauh lebih berpatutan dan mampu milik?

Memperkenalkan Moxiao 500RR 2021 yang baru saja diperkenalkan di negara China, tampil dengan rekaan yang hampir sama dengan Ducati Panigale, atau lebih tepat lagi ianya merupakan model klon daripada model asal Ducati Panigale 959. Rekaan Moxiao 500RR ini sememangnya boleh dipuji, tambahan pula spesifikasinya juga agak menarik.

Moxiao 500RR 2021 dikuasakan enjin bersesaran 471cc dua silinder (liquid-cooled, 8-valve, DOHC), yang menghamburkan kuasa maksimum 47.6PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 43Nm @ 7,000rpm. Kelajuan maksimumnya dikatakan mencapai 165 km/j, agak impresif. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti maksimum 22 liter.

Spesifikasi menarik lain yang melengkapinya termasuklah brek cakera depan 320 mm  berkembar dengan ABS dua saluran, brek cakera belakang 260 mm, fork depan jenis terbalik, sistem suspensi belakang canggih, lengan ayun jenis sebelah, panel meter digital, pengecas USB dan tayar depan belakang bersaiz 120/70-17 dan 190/50-17.

Menurut sumber dari China, Moxiao 500RR ini ditawarkan dalam dua versi iaitu dengan lengan ayun biasa (double) dan lengan ayun tunggal, dan harga bermula 35,800 CNY (RM 22,681.60) untuk versi lengan ayun biasa dan 38,800 CNY (RM 24,582.29) untuk versi lengan ayun tunggal. Sekali pandang, boleh tahan penampilan dan spesifikasinya.

Sumber : jddmoto.com