Pada bulan Oktober 2020 yang lepas, Rato Motorcycle yang berasal dari negara China telah mempamerkan sebuah model moped terbaharu, dikenali sebagai Rato SVR180. Berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, Rato SVR180 kini telah mula ditawarkan di pasaran domestik China, termasuklah bersedia untuk dieksport ke pasaran luar negara.
Rato SVR180 mempunyai reka bentuk mirip model Honda Winner X, namun tidaklah sama seratus-peratus. Ianya dikuasakan enjin dalam sesaran 149.2cc dengan teknologi EFI, seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Janaan kuasanya mencapai angka 15.6PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 12.8Nm @ 9,000rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model moped Rato SVR180 ini termasuklah tangki bahan api dengan keluasan maksimum 7 liter, panel meter digital TFT, sistem lampu LED, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, serta tayar dalam siri 90/80-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang).
Berdasarkan pemerhatian terhadap model-model motosikal kapcai dan moped keluaran China selama ini, Rato SVR180 apabila dijual di pasaran luar negara nanti, dijangkakan ianya akan diberikan nama baharu sebagai salah satu strategi pemasaran komersial. Ianya sama seperti model Aveta Ranger 110 yang berasal daripada model Rato Cool.