Kawasaki Fury 125 dan Fury 125RR masih ditawarkan di pasaran Filipina, harga bermula dari RM 5,553.72

Suatu ketika dahulu, Kawasaki pernah mengeluarkan pelbagai model motosikal kapcai dan moped. Antaranya ialah Kawasaki Fury 125 yang ketika ini masih dijual di pasaran Filipina. Model tersebut dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 125cc SOHC yang menghasilkan kuasa maksimum 9.66hp @ 8,000rpm dan tork 9.2Nm @ 6,500rpm.

Enjin tersebut yang dilengkapi dengan sistem sejukan udara kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan jenis berputar. Tangki bahan apinya yang terletak di bahagian depan hadir dengan kapasiti maksimum 5.2 liter. Untuk pasaran Filipina, ianya dijual pada harga PHP 65,400, bersamaan RM 5,553.72 mengikut kadar semasa.

Selain daripada Fury 125 yang merupakan versi standard, Kawasaki turut menawarkan model yang lebih sporty iaitu Fury 125RR. Antara kelebihan yang boleh didapati pada model berkenaan ialah ianya dilengkapi sistem klac tangan manual, rim aloi yang lebih bergaya, sistem brek cakera depan dan belakang, dan enjin patuh piawaian Euro 3.

Harga yang ditawarkan untuk Kawasaki Fury 125RR ialah PHP 74,900, bersamaan nilai RM 6,360.46 mengikut kadar semasa. Di pasaran Indonesia kalau tidak silap, model moped terakhir yang ditawarkan oleh Kawasaki ialah Kawasaki Athlete 125. Di pasaran Greece pula, Kawasaki Athlete 125 masih lagi dijual, mungkin versi yang terakhir.