Warna baharu untuk Suzuki Raider R150 Fuel Injection 2021 di pasaran Filipina

Pasaran Filipina merupakan antara pasaran yang masih menawarkan model Suzuki Raider R150 Fuel Injection, sama seperti pasaran Indonesia, Thailand dan Vietnam. Lebih unik lagi ialah negara kepulauan itu masih menawarkan model Suzuki Raider R150 Carburetor, menjadikannya negara tunggal di ASEAN yang menawarkannya.

Bagi model Suzuki Raider R150 Fuel Injection 2021, kini ianya diperkenalkan dengan pilihan warna terbaharu yang kelihatan cukup sporty dan segar, yang menggabungkan warna putih, hitam dan merah. Mungkin selepas ini akan ada lagi pilihan warna-warna terbaharu lain untuk musim 2021, yang akan diperkenalkan dari semasa ke semasa.

Pilihan warna terdahulu bagi musim 2020 juga masih ditawarkan, dalam lima pilihan warna kesemuanya seperti hitam, merah, biru, merah matte dan biru matte. Spesifikasi untuk model berkenaan masih kekal sama, dikuasakan enjin 147.3cc DOHC dengan kuasa maksimum 18.23hp @ 10,000rpm dan tork maksimum 13.8Nm @ 8,500rpm.

Untuk pasaran Filipina, Suzuki Raider R150 Fuel Injection ditawarkan pada harga jualan PHP 109,900.00, bersamaan RM 9,155.01 mengikut kadar tukaran semasa. Model ini juga dikatakan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun ini, namun tarikh yang tepat belum dapat dipastikan. Namanya mungkin Suzuki Belang R150 FI 2021.