KTM baru-baru ini memperkenalkan model kembara terbaharu KTM 1290 Adventure S 2021, yang kini dilengkapi teknologi lebih canggih dan prestasi yang lebih sporty. Ianya merupakan generasi ketiga KTM Adventure bagi model 1,000cc ke atas, tampil dengan aspek kembara serba boleh dan tahap keselesaan tertinggi untuk setiap perjalanan.
Menurut KTM, casis 1290 Adventure S terbaharu kini telah dikemaskini semula bagi meningkatkan pengagihan berat badan dan daya kelincahannya. Sensasi selekoh yang lebih tajam kemudiannya dicapai dengan menggerakkan kepala stereng ke belakang sejauh 15 mm, dan bahagian depan enjin turut diubah semula kedudukan lokasinya.
Sebagai tambahan, lengan ayun yang lebih panjang kini menyumbang kepada tahap kestabilan yang lebih baik sewaktu melakukan pecutan. Bahagian subframe turut direka semula bagi membolehkan tempat duduk berada pada paras yang lebih rendah tanpa mengorbankan ketahanan atau ciri-ciri praktikaliti untuk model kembara berkenaan.
Di sekitar penunggang ialah tangki bahan api tanpa kunci (keyless-cap fuel tank) 23 liter dan set badan yang menambahkan perasaannya sebagai sebuah jentera yang lincah. Menurut KTM, setiap sentimeter panel telah dianalisis agar ianya tidak mengganggu sensasi tunggangan. Memberikan keselesaan tambahan untuk perjalanan yang panjang ialah tempat duduk baharu jenis dua tingkat yang boleh dilaraskan sehingga 20 mm.
Juga dapat dilaraskan ialah paras handlebar, panel instrumen TFT serba baharu dan skrin penghadang angin yang telah dibangunkan melalui ujian di dalam terowong angin dan dapat dianjakkan sehingga 55 mm. KTM 1290 Super Adventure S unggul kerana pemusatan jisim yang lebih rendah dan keseimbangan berat badan yang lebih baik.
Beralih ke bahagian sistem bantuan elektronik generasi baharu, ianya kini menawarkan sistem traction control dengan tahap kawalan yang kurang mengganggu dalam pilihan mod RAIN, STREET, SPORT, OFFROAD dan juga mod RALLY (optional) yang telah dikemaskini. Lebih dari itu ialah pengenalan sistem Adaptive Cruise Control sebagai ciri standard untuk tahun 2021, yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat BOSCH.
Sistem berasaskan radar itu akan beroperasi secara automatik dalam menyesuaikan jarak yang selamat di antara kenderaan lain di hadapan berdasarkan sehingga lima peringkat, yang dapat diatur menggunakan suis handlebar yang direka semula. Sistem tersebut menawarkan tunggangan yang bukan saja lebih selamat, malah lebih selesa.
Pengalaman tunggangan kemudiannya dipertingkatkan lagi dengan paparan panel instrumen TFT 7.0 inci yang disambungkan ke unit kesambungan (Connectivity Unit) baharu, untuk pemasangan yang lancar ke telefon pintar. Paparan papan pemuka yang lebih besar itu mempunyai sistem menu yang pantas dan lebih praktikal, serta paparan infografik yang jelas untuk menunjukkan pelbagai bahagian motosikal dengan jelas.
Panel tersebut terletak di atas bahagian penyimpanan yang telah direka bentuk semula dengan soket pengecas USB. Untuk berkomunikasi dengan paparan panel baharu itu, KTM 1290 Super Adventure S dilengkapi dengan rangkaian suis serba baharu di kedua-dua belah sisi hendal, yang menawarkan pengalaman penggunaan baharu yang lancar.
Enjin V-twin KTM 1290 Super Adventure S bersesaran 1,301cc (2-cylinder, 4-stroke, V 75°) telah disemak semula dan patuh piawaian Euro 5. Hamburan kuasa maksimumnya mencapai 160hp @ 9,000rpm dengan tork puncak 138Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan dengan mekanisma gear PANKL yang dikemaskini semula, serta turut ditawarkan kelengkapan Quickshifter+ sebagai pilihan (optional).
Selanjutnya, jentera kembara canggih tersebut turut dilengkapi teknologi Motorcycle Traction Control dengan dua kawalan yang berbeza, manakala sistem Cornering ABS dan Offroad ABS merupakan produk daripada sistem Bosch Motorcycle Stability Control baharu, di samping Motor Slip Regulation yang tersedia sebagai pilihan (optional).
Sistem suspensi WP APEX Semi-Active Technology generasi baharu yang melengkapi KTM 1290 Super Adventure S menawarkan peredaman tambahan berkat penggunaan injap baharu, sementara teknologi 6D lean angle sensor memberikan input terus ke unit sistem suspensi tersebut untuk ianya beradaptasi mengikut gaya tunggangan sebenar.
KTM turut menawarkan pakej tambahan melalui pilihan aksesori KTM PowerParts yang direka khusus untuk KTM 1290 Super Adventure S 2021, dalam tiga pilihan kesemunya iaitu Suspension Pro, Rally Pack & Tech Pack. Pakej Suspension Pro menawarkan ciri redaman individu, fungsi pelarasan prabeban automatik dan talaan on/off Anti Dive.
Pakej Rally Pack pula menampilkan mod tunggangan RALLY dan MTC (Motorcycle Traction Control). Akhir sekali kesemua pakej di dalam Suspension Pro dan Rally Pack bersama-sama Quickshifter+, Motor Slip Regulation, Hill Hold Control dan lampu brek adaptif kesemuanya disertakan bersama-sama di dalam pakej teratas Tech Pack.