Kapcai Yamaha T115 ditawarkan di pasaran China dan Jepun

Untuk pasaran ASEAN, Yamaha sememangnya terkenal dengan beberapa buah model moped dan kapcai yang ternyata sangat popular. Bagaimanapun untuk pasaran China, hanya sebuah model kapcai yang ditawarkan ketika ini iaitu Yamaha T115, yang turut ditawarkan di pasaran domestik Jepun mulai tahun lepas (sumber Webike.net).

Untuk pasaran Jepun, model itu tidak ditawarkan secara rasmi oleh Yamaha, sebaliknya dijual oleh salah satu pengedar Yamaha di sana. Mungkin kerana model-model moped dan kapcai kurang popular di pasaran domestik Jepun, oleh itu Yamaha memberikan lebih tumpuan kepada model-model skuter yang mempunyai lebih ramai peminat.

Yamaha T115 merupakan sebuah model kapcai yang biasa sahaja. Ianya dilengkapi enjin bersesaran 114cc (air-cooled, SOHC, 4-stroke, 2-valve) dengan kotak gear empat kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 8.7PS @ 7,000rpm dengan tork puncak 9.6Nm @ 5,250rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 4.0 liter.

Terdapat dua versi ditawarkan iaitu versi brek cakera di bahagian roda depan dan versi yang hanya dilengkapi sistem brek depan jenis dram. Antara kemudahan yang terdapat pada Yamaha T115 ini ialah tempat meletakkan botol air dan ruang barangan di bawah tempat duduk. Pilihan warna yang ditawarkan pula ialah putih, merah dan hitam.

Pasaran China dan Jepun merupakan antara pasaran motosikal terbesar di dunia. Namun model-model moped dan kapcai kurang diminati. Malah di pasaran India sendiri model-model kapcai dan moped tidak menjadi pilihan, sama seperti di pasaran Amerika Utara, kebanyakan pasaran di Eropah dan banyak lagi pasaran-pasaran yang lain.