Harley-Davidson Pan America 1250 2021 diperkenalkan, saingan baharu dalam segmen jentera touring

Harley-Davidson pada dua hari yang lepas secara rasminya memperkenalkan model terbaharu Harley-Davidson Pan America 2021, yang bakal memberikan saingan terkini dalam segmen jentera touring di pasaran global. Model tersebut didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan varian kedua yang lebih canggih iaitu Special.

Harley-Davidson Pan America tampil dengan reka bentuk yang cukup menarik dan kelihatan gagah, pada masa yang sama dilengkapi pelbagai ciri-ciri yang canggih. Ianya dikuasakan enjin Revolution Max 1250 yang bersesaran 1,252cc (chain-driven, DOHC, hydraulic self-adjusting lifters, intake & exhaust VVT; four valves per cylinder), dengan kuasa maksimum 150hp @ 9,000rpm dan tork maksimum 127Nm @ 6,750rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Tangki bahan api model berkenaan hadir dengan kapasiti 21.2 liter, manakala berat (wet weight) motosikal ialah 242 kg bagi model Standard dan 254 kg bagi model Special. Spesifikasi lain antaranya ialah kerangka yang dioptimumkan, sistem brek Brembo, sistem suspensi boleh laras, panel instrumen 6.8 inci TFT dengan skrin sesentuh dan sistem sambungan Bluetooth, teknologi Cornering Rider Safety Enhancements dan lima pilihan mod tunggangan.

Selain itu model tersebut juga dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, skrin depan dengan ciri pelarasan empat tahap, sistem Cruise Control sebagai ciri standard dan sistem ekzos yang ringan dan direka untuk mematuhi piawaian Euro 5. Tayar depan dan belakangnya pula masing-masing berukuran 120/70R19 60V dan 170/60R17 72V.

Bagi versi Special, ianya didatangkan beberapa ciri yang lebih premium, antaranya ialah sistem suspensi depan dan belakang semi-active yang boleh dilaraskan secara elektronik, Center Stand, Multi-Position Rear Brake Pedal, Tire Pressure Monitoring System (TPMS), Brush Guard, Aluminum Skid Plate, Daymaker Signature Adaptive Headlamp, Steering Damper dan Heated Hand Grips and Hand Wind Deflectors.

Harley-Davidson Pan America bagi versi Standard boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Vivid Black dan River Rock Gray with Medallion, sementara versi Special tersedia dalam pilihan warna Vivid Black, Gauntlet Gray Metallic, Deadwood Green (hanya di pasaran terpilih sahaja), Baja Orange dan Stone Washed White Pearl. Harga jualannya ialah $17,319 dan $19,999, menurut sumber dari asphaltandrubber.com.

Galeri : 2021 Harley-Davidson Pan America

Galeri : 2021 Harley-Davidson Pan America Special