Untuk peminat skuter di pasaran Malaysia, CMC Motorcycles turut menawarkan model CMC Italjet 125 yang dilengkapi enjin berkapasiti 125cc dengan kuasa maksimum 8.9hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 8.6Nm @ 6,000rpm. Dengan berat hanya 118 kg (net weight), jumlah keluaran kuasa dan tork tersebut boleh dikatakan sudah memadai.
CMC Italjet 125 didatangkan tangki bahan api 6.8 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Sistem suspensinya menggabungkan fork depan jenis teleskopik dan monoshock di bahagian belakang, untuk pengendalian yang lincah dan tunggangan yang selesa. Sistem brek cakera depan dan belakangnya pula melengkapkan ciri keselamatannya.
CMC Italjet 125 berdiri di atas tayar depan berukuran 120/60 – R13 dan tayar belakang 130/60 – R13, dengan ketinggian tempat duduknya berada pada paras 800 mm. Ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk, penyangkut teh tarik, lampu depan dan belakang LED dan panel meter digital.
Untuk pasaran Malaysia, CMC Italjet 125 kini boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik seperti Sporty White, Chili Red dan Black Edition. Berdasarkan maklumat yang diumumkan oleh CMC Motorcycles pada bulan Oktober 2020 yang lalu, skuter sporty CMC Italjet 125 ini boleh dimiliki pada harga RM 5,849.00 (T & C apply) sahaja.