Zontes baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah model skuter maxi terbaharu yang tampil dengan gaya rekaan sporty, dan ianya dikenali dengan nama Zontes 310M. Model tersebut dikuasakan enjin bersesaran 309cc (single-cylinder, SOHC, liquid-cooled, fuel injection BOSCH) yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi automatik.
Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh Zontes 310M mencapai angka 33.3PS @ 7,500rpm, dengan tork maksimum mencecah 32Nm @ 5,500rpm. Jumlah kuasa dan tork tersebut sangat impresif, apatah lagi apabila berat skuter maxi tersebut hanya 168 kg sahaja. Tangki minyaknya mempunyai kapasiti maksimum 12 liter, manakala tahap penggunaan bahan api berada pada kadar yang memuaskan iaitu 3.2/100 (L/km).
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Zontes 310M ini termasuklah sistem dua mod tunggangan iaitu E untuk penjimatan dan S untuk sport, sistem kunci Keyless generasi kedua yang lebih canggih, sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter digital TFT berwarna dan skrin penghadang angin yang luas dengan ciri pelarasan elektrik.
Selain itu ianya juga didatangkan dengan kemudahan port pengecas pantas USB untuk kemudahan mengecas telefon bimbit. Teknologi ‘tire pressure monitoring system’ dan sistem brek ABS dual-channel seterusnya menjamin ciri keselamatan yang lebih baik. Panel instrumen TFT Zontes 310M juga boleh dihubungkan dengan aplikasi ZONTES Intelligent APP, melalui sambungan Bluetooth untuk pelbagai kemudahan digital.
Zontes 310M 2021 ini juga dikatakan sebagai sebuah model yang serba boleh, serta mampu meredah laluan off-road tanpa sebarang masalah dengan jarak kelegaan bumi minimum 160 mm. Tinggi tempat duduknya ialah 770 mm, sementara saiz roda depan dan belakangnya masing-masing mempunyai ukuran 110/80-R14 dan 140/70-R14.
Untuk pasaran China, Zontes 310M ditawarkan pada harga 30,800 (Chinese Yuan), bersamaan RM 18,964.47 mengikut kadar semasa. Pilihan warna yang disediakan pula ialah tiga kesemuanya iaitu Ruby Red, Special Black dan Pearl White. Untuk pasaran Malaysia, belum dapat dipastikan sama ada skuter maxi berkuasa ini akan dilancarkan.