Suzuki Gixxer SF250 2021 dijangka akan dilancarkan di pasaran Indonesia tidak lama lagi

Sejak penghujung tahun yang lepas, Suzuki Malaysia dikhabarkan bakal melancarkan beberapa buah model motosikal terbaharu untuk pasaran Malaysia. Salah sebuah daripadanya ialah model Suzuki Gixxer SF250 yang tampil dengan gaya fairing sporty, serta dilengkapi enjin 249cc (oil-cooled, 4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve).

Bagaimanapun berita tersebut sehingga kini belum menjadi kenyataan, tanpa sebarang sebab yang jelas. Sementara itu di pasaran Indonesia, model berkenaan dijangka akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi, berdasarkan laporan awal daripada beberapa sumber yang boleh dipercayai. Nampaknya pasaran Malaysia akan ketinggalan lagi.

Salah satu pasaran yang menawarkan model Suzuki Gixxer SF250 pada ketika ini ialah pasaran Jepun, yang tampil dengan beberapa pilihan warna yang menarik. Harga yang ditetapkan untuk pasaran negara asal jenama Suzuki itu ialah 481,800 Yen, bersamaan nilai RM 18,766.76. Untuk pasaran Indonesia, harganya mungkin akan lebih rendah.

Dari aspek reka bentuk, Suzuki Gixxer SF250 ini tetap hadir dengan gaya rekaan yang sporty dan tersendiri, agak berbeza dengan penampilan model Suzuki GSX250R. Jika Suzuki Gixxer SF250 ini dilancarkan di pasaran Malaysia, adakah ianya akan mendapat sambutan? Apa pun kita tunggu dulu kemunculan rasminya untuk pasaran Indonesia.

Artikel menarik minggu ini :