Model konsep Yamaha F-155 untuk generasi baharu Exciter diperkenalkan, kos keseluruhan melebihi 100,000 USD

Sewaktu pelancaran model Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam baru-baru ini, Yamaha telah membuat kejutan dengan mempamerkan sebuah model konsep yang dikenali dengan nama Yamaha F-155. Menurut Yamaha, model konsep tersebut dibangunkan sebagai asas pembangunan untuk generasi baharu Yamaha Exciter.

Secara keseluruhannya, Yamaha F-155 tampil dengan gaya rekaan ekstrem bagaikan sebuah jentera perlumbaan yang bersedia untuk beraksi di litar. Disebabkan itu apabila melihat sistem brek depannya, model konsep tersebut didapati masih belum dilengkapi dengan sistem brek ABS, sama seperti model semasa Yamaha Exciter 155 VVA.

Beralih ke bahagian sistem suspensi depan, Yamaha F-155 kini dilengkapi fork depan jenis terbalik (upside-down), seperti mana yang digunakan pada model Yamaha YZF-R15 dan Yamaha MT-15. Rekaan handlebar pula dikatakan menyamai handlebar yang pernah digunakan pada model Yamaha X1R, di samping panel meter bersaiz kecil.

Tempat duduk Yamaha F-155 direka hanya untuk seorang penunggang sahaja, tipikal untuk sesebuah model yang digunakan dalam perlumbaan di litar. Ianya juga termasuk rekaan tempat pemijak kaki yang dianjak lebih tinggi ke belakang, untuk ciri tunggangan yang lebih sporty. Tempat pemijak itu juga didatangkan dengan ciri boleh dilaraskan.

Paip ekzos berada di posisi paling bawah dan direka secara berkembar. Seterusnya, rim roda kelihatan hampir sama seperti yang digunakan pada model Yamaha YZF-R3, yang kemudiannya dibalut tayar Pirelli Diablo berprestasi tinggi. Kos keseluruhan untuk pembangunan Yamaha F-155 ini dikatakan melebihi 100,000 USD (RM 403,000.00).

Sumber : Zingnews.vn