Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam turun harga selepas ketibaan Yamaha Exciter 155 VVA 2021

Model moped Yamaha Exciter 155 VVA 2021 secara rasminya telah berada di pasaran Vietnam sejak kelmarin, bermula tarikh 06hb. Januari 2021. Seperti mana yang dijangkakan, model tersebut telah mendapat sambutan hangat kerana harga yang ditawarkan bermula serendah 46,990,000 VND sahaja (bersamaan RM 8,173.86).

Harga tersebut sebenarnya adalah sama dengan harga terendah yang ditawarkan oleh model Yamaha Exciter 150 yang ketika ini masih ditawarkan seperti biasa. Jadi tanpa perlu berfikir panjang, sudah tentu peminat motosikal di negara berkenaan akan terus membeli Yamaha Exciter 155 VVA serba baharu, berbanding Yamaha Exciter 150.

Bagaimanapun, harga jualan untuk Yamaha Exciter 150 sebelum ini telah pun turun, seperti mana laporan yang disiarkan pada bulan Disember 2020 yang lepas. Cuma selepas kehadiran Yamaha Exciter 155 VVA, penurunan harga untuk Yamaha Exciter 150 kini mencapai paras terendah 38,000,000 VND, bersamaan RM 6,610.06 sahaja.

Apa yang boleh dikatakan, pelancaran Yamaha Exciter 155 VVA 2021 untuk pasaran Vietnam secara tidak langsung telah memberi peluang kepada pengguna motosikal di sana untuk memiliki Yamaha Exciter 150 pada harga yang lebih rendah. Sebenarnya, spesifikasi dan reka bentuk model berkenaan kekal relevan dan sporty sehingga kini.

Pujian seharusnya diberikan kepada pihak Yamaha Motor Vietnam, kerana walaupun Yamaha Exciter 155 VVA tampil dengan rekaan serba baharu, enjin yang dinaiktaraf dan lebih berkuasa, serta dilengkapi beberapa ciri baharu yang lebih canggih, namun harga yang ditawarkan tidak jauh berbeza dengan harga Yamaha Exciter 150.

Harga jualan runcit yang ditetapkan oleh Yamaha Motor Vietnam untuk model Yamaha Exciter 150 ketika ini masih sama seperti sebelumnya, iaitu bermula serendah 46,990,000 VND sehingga 48,990,000 VND. Bagi model Yamaha Exciter 155 VVA pula, harga jualan runcitnya bermula dari 46,990,000 VND sehingga 50,490,000 VND.

Sama seperti di pasaran Malaysia, pengedar motosikal Yamaha di negara Vietnam juga bebas menentukan harga jualan sebenar kepada para pelanggannya. Namun sangat berbeza berbanding di pasaran Malaysia, pengedar motosikal di Vietnam tidak segan silu untuk menurunkan harga motosikal yang dijual demi mencapai sasaran jualan.

Persoalannya ialah jika model Yamaha Y15ZR V3 2021 terbaharu dilancarkan nanti, adakah harga yang akan ditetapkan oleh pihak HLYM akan hampir sama seperti harga Yamaha Y15ZR V2? Adakah juga harga Yamaha Y15ZR V2 selepas itu akan diturunkan sama seperti penurunan harga Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam ketika ini?

Pada pandangan Arena Motosikal, situasi di pasaran Vietnam pada ketika ini mungkin tidak akan berlaku di pasaran Malaysia apabila Yamaha Y15ZR V3 2021 dilancarkan nanti. Ramalannya ialah harga jualan Yamaha Y15ZR V3 2021 akan ditawarkan lebih tinggi daripada harga semasa Yamaha Y15ZR V2, sebagai strategi jualan HLYM.

Jadi kemungkinan untuk melihat harga jualan Yamaha Y15ZR V2 diturunkan selepas pelancaran Yamaha Y15ZR V3 2021 nanti, seperti mana turunnya harga Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam, mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Setakat ini harga Y15ZR V3 dijangka akan melepasi paras RM 10k apabila dilancarkan nanti.