SYM Galaxy 50 dilengkapi enjin bersesaran 49.5cc, sesuai untuk kegunaan remaja di bawah usia 20 tahun

Baru-baru ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencadangkan agar remaja berusia di antara 16 sehingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal dalam kategori 70cc ke bawah menjelang tahun 2025.

Sehubungan itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaporkan akan meneliti cadangan tersebut dan akan berbincang dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Kerja Raya sebelum sebarang keputusan dibuat.

Antara sebab saranan itu dilakukan ialah berikutan peningkatan kes kemalangan dan kadar kematian penunggang motosikal berkuasa besar, yang membabitkan kalangan remaja berusia dalam lingkungan 16 hingga 20 tahun.

Jika benar cadangan tersebut akan dikuatkuasakan nanti, mungkin selepas ini pasaran Malaysia akan ditawarkan dengan model-model motosikal di bawah 70cc, antaranya seperti model SYM Galaxy 50 yang ditawarkan di pasaran Vietnam ini.

SYM Galaxy 50 dikuasakan enjin bersesaran hanya 49.5cc yang menawarkan kuasa maksimum 2.78PS @ 7,500rpm dengan tork puncak 2.94Nm @ 6,500rpm. Enjin dengan sistem sejukan udara itu dilengkapi kotak gear empat kelajuan.

Untuk keselamatan, sistem brek jenis dram di bahagian depan dan belakang sudah mencukupi untuk memberhentikan motosikal kapcai itu dengan selamat. Saiz tayar depan dan belakangnya masing-masing berukuran 70 / 80-R17 dan 80 / 80-R17.

SYM Galaxy 50 seterusnya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4 liter, dengan tahap penggunaan petrol yang menjimatkan pada paras 1.29L / 100km. Berat kering motosikal tersebut pula sekitar hanya 98 kg.

Untuk pasaran Vietnam, SYM Galaxy 50 boleh didapati dalam pilihan varian dengan rim roda aloi dan jejari, dengan tawaran harga bermula dari 15,900,000 VND (RM 2,774.35) sehingga 16,990,000 VND (RM 2,964.54) sahaja.

Dengan jumlah kuasa dan tork yang rendah dan kelajuan maksimum yang tidak akan melebihi 80 km/j, mungkin model kapcai SYM Galaxy 50 ini akan membantu pihak polis dalam mengurangkan aktiviti lumba haram di kalangan remaja di Malaysia.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?