Honda CB190R masih ditawarkan di pasaran China, harga bersamaan RM 10,080.55

Sekitar tahun 2015 yang lalu, peminat motosikal Honda berasa sangat teruja dengan pelancaran model terbaharu Honda CB190R untuk pasaran negara China. Walaupun dibangunkan khusus untuk pasaran China, namun Honda CB190R juga ditawarkan untuk pasaran luar negara, antaranya seperti Singapura, Mexico dan Argentina.

Honda CB190R tampil dengan reka bentuk yang sporty dan spesifikasi yang menarik, namun sayangnya model ini tidak ditawarkan di pasaran ASEAN secara meluas seperti di pasaran Malaysia, Indonesia, Thailand dan juga Filipina. Model ini hanya masuk ke pasaran Vietnam pada tahun 2016, diimport secara terus oleh pengimport bebas.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda CB190R ini sudah tentulah rekaannya yang tajam dan sporty, enjin 184.4cc (four stroke, single cylinder, air cooling, OHC) dengan kuasa maksimum 16.85PS @ 8,000rpm dan tork 16Nm @ 7,000rpm, fork depan jenis terbalik 37 mm, suspensi belakang boleh laras, sistem brek ABS, panel meter digital, sistem lampu LED sepenuhnya dan kapasiti tangki bahan api 12 liter.

Selain itu Honda CB190R juga tampil dengan rekaan ekzos yang sporty, pilihan warna yang menarik termasuk edisi Repsol, dan termasuklah harga yang berpatutan sekitar ¥16,180 sahaja (bersamaan RM 10,080.55 mengikut kadar semasa). Sehingga kini, Honda CB190R ini dirasakan masih mempunyai ramai peminat di rantau ASEAN.