Sejak beberapa tahun yang lalu, peminat dunia permotoran tanah air telah dikejutkan dengan berita pembangunan model Modenas Super Moped. Model tersebut dikatakan bakal menggunakan sama ada enjin bersesaran 150cc atau 175cc, bagi memberikan saingan kepada model-model moped lain yang telah lama berada di pasaran tempatan.
Bagaimanapun pada tahun 2019, projek Modenas Super Moped dikatakan telah gagal dan pembangunannya ditamatkan secara rasmi. Walaupun unit prototaip untuk model berkenaan telah siap sepenuhnya dan telah diuji di atas jalan raya, teknologi yang ada padanya dikatakan telah ketinggalan zaman dan tidak sesuai untuk pasaran semasa.
Tidak pasti sama ada maklumat tersebut benar atau pun tidak, namun selepas itu tiada lagi perkembangan terkini mengenai projek Modenas Super Moped. Situasi yang tidak dijangka itu telah menyebabkan ramai peminat dunia permotoran tempatan merasa amat kecewa, pada masa yang sama kekal mengharapkan projek tersebut diteruskan.
Akhirnya pada awal tahun ini, berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai hasil daripada sidang media bersama pihak Modenas, projek Modenas Super Moped seolah-olah telah menemui sinar baru. Dikatakan Modenas seolah-olah memberikan petunjuk bahawa projek pengeluaran moped yang dinanti-nantikan itu akan berjalan semula.
Malah lebih mengujakan ialah dikatakan terdapatnya input daripada pihak Kawasaki sendiri untuk membantu Modenas dalam menambahbaik pembangunan dan teknologi yang akan digunakan pada model Super Moped tersebut. Sekali lagi peminat dunia permotoran tanah air berasa sangat teruja dan tidak sabar-sabar menantikan hasilnya.
Bagaimanapun masa terus berlalu pantas, dan kini telah pun sampai ke penghujung tahun 2020. Sejak berita terakhir mengenai kemungkinan berjalannya semula projek Modenas Super Moped pada awal tahun yang lalu dengan bantuan daripada Kawasaki, nampaknya harapan tinggal harapan. Modenas Super Moped kini hilang ditelan waktu.
Tiada lagi sebarang maklumat atau khabar angin terkini. Tiada lagi sebarang spekulasi yang meyakinkan, sama ada daripada pihak luar atau daripada pihak Modenas sendiri. Lebih dari itu, tiada sesiapa pun yang pernah menemui unit prototaip terkini Modenas Super Moped yang sedang diuji di jalan raya, sebagai bukti berjalannya projek tersebut.
Apa yang boleh dikatakan, kegagalan Modenas dalam meneruskan projek tersebut telah menyebabkan syarikat tempatan itu terlepas peluang untuk kembali mendominasi pasaran motosikal tanah air yang kini meriah dengan pelbagai jenama luar. Mungkin Modenas mempunyai alasan yang tersendiri, namun apa alasan pun sukar diterima.
Mungkin ini artikel terakhir mengenai Modenas Super Moped, kerana Arena Motosikal sendiri beranggapan projek tersebut telah terkubur sepenuhnya. Pada tahun depan, HLYM akan melancarkan model terbaharu Yamaha Y15ZR V3 dan BSH dengan model Honda RS150R V3. Pada ketika itu mampukah Modenas terus memberikan cabaran?