
Boon Siew Honda (BSH) bersama pengedarnya, Kuek Motor secara rasminya melancarkan satu lagi pusat sehentian Impian X dan lokasi kali ini adalah di Nilai, Negeri Sembilan.
Ini bukan satu cawangan pengedar biasa tetapi ini adalah premis Honda Impian X terbesar Malaysia. Premis ini dikenali sebagai Honda Impian X Nilai (Kuek Motor Nilai).
Berbekalkan keluasan 5,560 kaki persegi, Honda Impian X Nilai ini adalah pusat sehentian komprehensif untuk keperluan pelanggan BSH di Negeri Sembilan serta sempadan Selangor.

Di dalam bangunan itu menempatkan rangkaian produk penuh dua roda Honda bawah 250cc, merangkumi segmen skukter, kapcai dan juga model adventure.
Bahagian sisi sebelah kiri adalah bahagian alat ganti dan aksesori aftermarket untuk motosikal dan skuter Honda.
Bahagian kanan pula menempatkan pelbagai pilihan topi keledar, baju pakaian serta barangan gaya hidup Honda.
Laluan di belakang kaunter ada sebuah bilik stimulator latihan tunggangan Honda. Di belakang sekali adalah pusat baik pulih dan servis yang menyediakan lapan ruang kerja.

Ruangan dalaman menunggu berpenyaman udara disediakan untuk pengunjung dan pelanggan berehat atau melihat kenderaan dua roda mereka dibaik pulih disebalik tembok cermin.
Bilik pameran itu menempatkan 10 kakitangan terlatih untuk memberi khidmat terbaik termasuk petugas baik pulih kenderaan bertauliah.
Premis itu terletak di Lot 27280A, Jalan BBN 5/3a, Taman Desa Jasmin, Nilai di Negeri Sembilan. Waktu operasi bermula 9 pagi sehingga 6 petang, Isnin hingga Ahad.
Sempena majlis pembukaan hari ini, ada beberapa promosi eksklusif masa terhad disediakan iaitu:
- Honda RS-X Winner: rebat RM1,500 dengan topi keledar percuma ARC.
- Honda Vario 160: rebat RM800.
- Honda ADV160: baucar RM300.
Ada sesi tunggang uji membabitkan model-model terkini BSH termasuk Honda Vario 125 Street.

Sempena majlis hari ini, BSH juga membuat serahan hadiah skuter Honda Vario 125 Street x KATUN kepada pemenang bertuah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano berkata:
“Pembukaan Honda Impian X Kuek Motor menandakan satu detik penting dalam peluasan rangkaian kami.
“Daripada permulaan mereka yang sederhana di Sungai Pelek (premis pertama Kuek Motor) sehinggalah ke cawangan utama yang besar di Nilai, Kuek Motor terus menunjukkan skala cita-cita yang kami kongsi di Boon Siew Honda.
“Fasiliti ini mewakili usaha berterusan kami untuk menyediakan ekosistem gaya hidup dan pemilikan yang lengkap yang mengutamakan kualiti, kemudahan dan kepercayaan.”























