MV Agusta Superveloce Alpine 2021 diperkenalkan, edisi terhad 110 unit, harga bersamaan RM 178k

MV Agusta dan pengeluar kereta Alpine dari Perancis telah memperkenalkan hasil kerjasama antara kedua-duanya iaitu MV Agusta Superveloce Alpine 2021, terhad 110 unit sahaja. Jumlah pengeluaran dan pilihan warna Blue/Ago Silver untuk model istimewa tersebut merupakan refleksi jelas kepada model kereta sport Alpine A110.

Setiap model didatangkan nombor siri khas yang ditempa pada kepala stereng bermula dari 001 sehingga 110. Enjin tiga silinder bersesaran 798cc yang patuh piawaian Euro 5 menghasilkan kuasa maksimum 147hp pada 13,000rpm. Dengan berat kering hanya 173 kg, kelajuan maksimum Superveloce Alpine dikatakan mencecah 240 km/j.

Perincian pada model tersebut antaranya melibatkan penggunaan komponen karbon di beberapa bahagian, kelengkapan sistem ekzos perlumbaan Arrow, sistem ECU khusus, penutup tangki bahan api CNC dengan tali kulit berlogo Alpine dan penutup tempat duduk belakang. Juga disertakan ialah sijil pengesahannya sebagai model edisi terhad.

MV Agusta Superveloce Alpine juga mempunyai spesifikasi eksklusif yang merangkumi paparan instrumen TFT 5.0 inci berwarna, Cruise Control, Launch Control, sambungan Bluetooth, GPS, aplikasi MV Ride dan juga sistem penjejak Mobisat. Untuk pasaran Itali, Superveloce Alpine ditawarkan pada harga 36,300€, bersamaan RM 178,124.64.