Web Analytics
Honda Winner X 2021 (Honda RS150R V3) dijangka masuk ke pasaran Malaysia mulai tahun depan – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Honda Winner X 2021 (Honda RS150R V3) dijangka masuk ke pasaran Malaysia mulai tahun depan

Ketika ini di pasaran Malaysia, Yamaha Y15ZR V2 merupakan model moped paling popular di kalangan pengguna motosikal tempatan. Ianya bukan saja menjadi kegilaan ramai terutamanya di kalangan remaja dan golongan anak muda, malah golongan artis juga tidak terkecuali. Malah tidak keterlaluan apabila ianya digelar ‘Raja Jalanan’.

Sementara itu Honda RS150R V2 juga mendapat tempat di kalangan peminat dunia motosikal tempatan, dan model tersebut memberikan saingan rapat kepada model Yamaha Y15ZR V2. Merancakkan lagi suasana ialah kehadiran SYM VF3i 185 V2 bersama-sama varian SYM VF3i 185 LE, dan tidak dilupakan ialah Benelli RFS150i.

Bagaimanapun di pasaran Vietnam sejak pertengahan tahun lepas, terdapat sebuah lagi model moped keluaran Honda yang menampilkan reka bentuk paling terkini dengan ciri-ciri yang lebih canggih, dikenali dengan nama Honda Winner X. Ketika ini Vietnam merupakan satu-satunya pasaran di rantau ASEAN yang menjual model tersebut.

Di kalangan peminat motosikal tempatan ketika ini, ramai yang tertanya-tanya bilakah Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) akan melancarkan model Honda Winner X secara rasmi di pasaran Malaysia. Malangnya sehingga kini BSH masih membisu, malah jawapan yang diberikan sebelum ini bahawa majoriti peminat motosikal Honda lebih menggemari RS150R V2 melalui survei yang dijalankan ternyata amat mengecewakan.

Ramai peminat motosikal tempatan dan peminat motosikal Honda secara khususnya berang dengan jawapan yang diberikan. Mereka mempertikaikan survei yang telah dijalankan oleh pihak BSH, dan meluahkan kekecewaan mereka di dalam laman-laman sosial dan blog permotoran tanah air. Bagi mereka, tidak ada sebab untuk menolak kehadiran Honda Winner X yang tampil lebih sporty dengan ciri-ciri yang lebih canggih.

Sememangnya jawapan yang diberikan oleh BSH mengenai kemasukan Honda Winner X ke pasaran tempatan itu boleh dipertikaikan, namun dari satu sudut, boleh dikatakan ianya merupakan jawapan selamat daripada pihak pengurusan BSH, apabila disoal oleh pihak media. Sudah tentu mereka akan melancarkan Honda Winner X untuk pasaran Malaysia suatu hari nanti, dan ianya tidak lebih daripada satu strategi perniagaan.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, Vietnam merupakan satu-satunya pasaran di rantau ASEAN yang menerima kehadiran model Honda Winner X ketika ini. Malah pasaran terbesar lain seperti Indonesia, Thailand dan juga Filipina, juga masih belum melancarkan model berkenaan. Ini bermakna bukan Malaysia sahaja yang ketinggalan.

Terdapat beberapa sebab kenapa Honda Winner X masih belum dilancarkan di pasaran Malaysia. Antaranya ialah ianya melibatkan strategi pihak Honda itu sendiri yang masih mahu menawarkan model RS150R V2, sama seperti di pasaran Indonesia dan Filipina. Hakikatnya, jualan Honda RS150R V2 ketika ini masih lagi laris dan kekal tinggi.

Sebab lain ialah Honda Winner X pada mulanya dikhususkan untuk pasaran Vietnam terlebih dahulu, kerana Vietnam merupakan pasaran kapcai dan moped terbesar di rantau ASEAN. Model terdahulu Honda Winner sebenarnya tewas di tangan model Yamaha Exciter 150 V2 yang dilancarkan setahun lebih awal, iaitu pada Ogos 2018.

Jadi pihak Honda di pasaran Vietnam tidak mempunyai pilihan lain selain merombak semula model Winner, dan menampilkannya sebagai model Winner X serba baharu, dengan ciri-ciri yang lebih canggih termasuk sistem brek ABS. Strategi pihak Honda Vietnam yang memperkenalkan Honda Winner X boleh dikatakan agak berjaya, namun prestasi jualan Yamaha Exciter 150 V2 ketika ini kekal di posisi teratas.

Manakala untuk pasaran negara-negara lain di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, pihak Honda mendapati bahawa mereka tidak perlu terburu-buru untuk melancarkan Honda Winner X, kerana model RS150R V2 masih lagi mendapat sambutan, tambahan pula kitaran hayatnya belum pun mencapai angka lima tahun.

Namun jangan salah anggap, BSH akan tetap melancarkan model Honda Winner X di pasaran Malaysia, cuma persoalannya sekarang ialah bilakah ianya akan dilancarkan? Berdasarkan pemerhatian dan jangkaan, dengan menilai strategi pihak BSH yang telah menerima banyak maklum balas daripada peminat motosikal tempatan, Honda Winner X dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia mulai tahun depan, pada tahun 2021.

Ketika itu Honda RS150R V2 yang dilancarkan pada Januari 2020 yang lalu telah pun mencapai usia lebih setahun, dan pada masa yang sama BSH telah berjaya mengatur pengeluaran untuk kedua-dua model tersebut, agar tidak berlaku pertindihan dari segi kapasiti pengeluaran, yang mungkin akan memberikan saingan sesama sendiri.

Tahun 2021 dan ke atas merupakan tahun yang mencabar buat Honda dan juga BSH, kerana Yamaha bakal memperkenalkan model terbaharu Yamaha Exciter 155 VVA buat pertama kalinya di pasaran Vietnam, dan seterusnya dijangka akan mendominasi pasaran-pasaran lain antaranya seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Jadi perancangan BSH yang dijangka akan melancarkan Honda Winner X 2021 pada tahun hadapan sebenarnya merupakan antara strategi perniagaan yang bijak dan menguntungkan. Amat mustahil sekiranya BSH kekal pasif untuk tidak melancarkan model Honda Winner X, sedangkan pasaran yang menantikannya sangat besar.

Artikel menarik berkaitan : Honda Winner X di pasaran Singapura, harga bersamaan RM 16,398.35

Galeri : 2020 Honda Winner X (Vietnam) 

Sumber gambar : HEAD Hòa Bình Minh – Ninh Thuận FB

 
Arena Motosikal © 2023