Kymco KRV 2021 dilancarkan di pasaran Taiwan, harga mula bersamaan RM 16,178.40

Salah sebuah model skuter terbaharu yang menarik perhatian ramai baru-baru ini ialah Kymco KRV 2021, yang diperkenalkan dalam bulan November 2020 yang lepas. Model tersebut mempunyai reka bentuk yang sporty dan agresif, dilengkapi spesifikasi dan ciri-ciri serba moden yang lengkap, di samping enjin dengan prestasi yang memuaskan.

Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Kymco Taiwan, Kymco KRV kini telah dilancarkan secara rasmi di pasaran negara asalnya, dan boleh didapati dalam dua pilihan varian. Kedua-dua varian tersebut dilengkapi dengan sistem brek ABS, namun varian teratas menerima teknologi tambahan iaitu TCS (Traction Control System).

Harga yang ditawarkan untuk Kymco KRV di pasaran Taiwan bermula dari 112,800 TWD untuk varian ABS, bersamaan RM 16,178.40 mengikut kadar semasa. Bagi varian TCS, harga yang ditawarkan ialah 123,800 TWD, bersamaan RM 17,756.08 mengikut kadar semasa. Kedua-dua harga tersebut boleh dikatakan mencapai paras agak tinggi.

Berdasarkan maklumat terkini, jumlah keluaran kuasa dan tork yang dijana oleh enjin Kymco KRV kini berada pada tahap maksimum 17.03PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 15.50Nm @ 6,500rpm. Kymco KRV dikuasakan enjin 175.1cc (OHC, 4 Stroke, 4V, Single Cylinder) dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair.

Antara kelebihan yang ditawarkan oleh Kymco KRV ini ialah ianya dikatakan sebagai model skuter kompak pertama yang dilengkapi lengan ayun bebas (independent swing-arm). Lebih menarik dan unik ialah model tersebut juga dilengkapi sistem pacuan akhir menggunakan tali sawat yang lebih senyap dan kurang masa penyelenggaraan.

Ciri-ciri moden lain yang melengkapinya termasuklah sistem lampu LED, sistem kunci Keyless, panel meter digital, sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang, serta suspensi belakang monoshock untuk prestasi dan keselesaan tunggangan yang lebih baik. Lantai rata yang melengkapinya pula menawarkan posisi tunggangan optimum.

Seterusnya Kymco KRV berdiri di atas rim roda aloi aluminium yang dibalut tayar dalam siri 110/70-R13 (depan) dan 130/70-R13 (belakang), sementara ketinggian tempat duduknya berada pada paras 795 mm. Kymco KRV 2021 dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 7.2 liter, dengan beratnya ialah 133.5 kg (curb weight).